Terengganu kekal had umur minimum perkahwinan 18 tahun bagi lelaki, 16 perempuan

Terengganu kekal had umur minimum perkahwinan 18 tahun bagi lelaki, 16 perempuan

Kelulusan permohonan untuk berkahwin di bawah umur hanya atas 3 faktor, iaitu perempuan telah melahirkan anak, sedang mengandung atau pasangan tersebut terlanjur.

Mahkamah Syariah Terengganu menerima 444 permohonan untuk perkahwinan di bawah umur dari 2013 hingga 2018 dengan 397 permohonan diluluskan.
KUALA TERENGGANU:
Had umur minimum untuk berkahwin bagi orang Islam di Terengganu kekal 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan, seperti yang ditetapkan dalam Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.

Ketua Hakim Syarie Terengganu Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, bagaimanapun pihaknya tidak akan sewenang-wenangnya memberi kelulusan kepada permohonan untuk perkahwinan di bawah umur kecuali atas 3 faktor, iaitu perempuan tersebut telah melahirkan anak, sedang mengandung atau pasangan tersebut telah terlanjur.

Beliau berkata, pihaknya menerima 444 permohonan untuk perkahwinan di bawah umur sejak 2013 hingga 2018 dan daripada jumlah itu, 397 permohonan diluluskan.

“Kelulusan diberi hanya untuk permohonan berdasarkan 3 faktor ini kerana ia mempunyai kesan kepada anak yang dikandung atau dilahirkan itu dari segi pewarisan harta, wali dan faraid.

“Selain itu, kita tidak terima alasan mereka walaupun kad jemputan kahwin telah diedarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Anak, Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu kali kedua 2018 yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim di sini hari ini.

Mengikut rekod Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, 444 permohonan untuk berkahwin bawah umur itu melibatkan seramai 522 kanak-kanak, iaitu 155 pemohon berumur 17 tahun, 40 orang (16 tahun), 277 orang (15 tahun), 40 orang (14 tahun) dan 10 orang (13 tahun).

Wan Mohd Zakri berkata, antara alasan yang sering diberi untuk permohonan perkahwinan bawah umur ini ialah suka sama suka, ingin berkahwin, meringankan beban keluarga dan mengelak maksiat.

“Daripada 444 permohonan itu, sebanyak 405 permohonan melibatkan seorang pemohon bawah umur (kebiasaannya perempuan), manakala 39 kes lagi melibatkan kedua-dua pemohon bawah umur.

“Di Terengganu, permohonan untuk perkahwinan bawah umur semakin menurun setiap tahun dan tidak membimbangkan. Adalah lebih baik mereka berkahwin pada usia yang selayaknya kecuali atas sebab 3 faktor tadi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.