SIS terkejut Terengganu lulus lebih separuh permohonan nikah bawah umur

SIS terkejut Terengganu lulus lebih separuh permohonan nikah bawah umur

Terengganu meluluskan 397 daripada 444 permohonan nikah bawah umur dari 2013 hingga 2018, kata Sisters in Islam.

Menurut Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, permohonan melibatkan 522 kanak-kanak, kata SIS. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
NGO wanita, Sisters in Islam (SIS) terkejut Terengganu meluluskan lebih separuh daripada permohonan nikah bawah umur dari 2013 hingga 2018, memetik pendedahan Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

SIS dalam kenyataan berkata Terengganu meluluskan 397 daripada 444 permohonan nikah bawah umur dalam tempoh tersebut, menunjukkan ada ketidakadilan dan penyalahgunaan di negeri itu.

Menurut Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, kata SIS, permohonan melibatkan 522 kanak-kanak. NGO itu bimbang kerana angka menunjukkan sekurang-kurangnya 125 pernikahan bawah umur melibatkan pasangan yang lebih tua.

Katanya lagi, lebih separuh daripada pemohonan yang diluluskan melibatkan orang berusia bawah 15 tahun, dan 10 daripadanya melibatkan orang berusia 13 tahun.

“Kami terkejut jabatan meluluskan (252) permohonan semata-mata atas dasar pasangan itu ‘bercinta’ dan ‘ingin’ berkahwin,” katanya.

Menurut SIS lagi, 20 permohonan diluluskan kerana untuk meringankan beban keluarga, 11 kerana tercicir dari persekolahan dan isu peribadi, dan 1 permohonan kerana rogol.

“Kes-kes ini menunjukkan kanak-kanak itu mungkin telah dipaksa berkahwin dan secara tidak rela terdedah kepada bahaya,” katanya.

Menurut SIS lagi, 72 permohonan diluluskan kerana hamil di luar nikah dan 39 kerana pernah melakukan hubungan seks.

NGO itu berkata perkembangan ini suatu trend berbahaya kerana seks dengan orang bawah umur, walaupun dengan izin, adalah jenayah rogol statutori, tetapi “pelaku dewasa boleh memintas undang-undang dengan mengahwini mangsa.”

Menurut Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum untuk berkahwin bagi lelaki ialah 18 tahun manakala bagi perempuan 16 tahun dan sekiranya mereka bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka.

Putrajaya berhasrat menyelaraskan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun di semua negeri.

Selangor menjadi negeri pertama yang menaikkan had umur minimum perkahwinan orang Islam daripada 16 kepada 18 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.