
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata, kementerian itu perlu inovatif dalam menjalankan kerja-kerja untuk membawa kepada penambahbaikan.
“Ia mesti berani menyimpang daripada amalan sedia ada,” katanya dalam kenyataan kepada FMT, hari ini.
Menurutnya, jika kanak-kanak di bawah umur dibenarkan mengambil ujian masuk sekolah yang diambil oleh kanak-kanak cukup umur, iaitu 6 tahun ke atas, kementerian tidak akan hilang apa-apa, sebaliknya mendapat pengalaman.

Kementerian, katanya, seharusnya tidak menahan pendidikan kanak-kanak yang berumur sedikit lebih muda berbanding usia 6 tahun, tetapi telah mencapai “usia membaca dan mental” 6 tahun dengan proses “saringan” yang menekankan dan menghalang ibu bapa kanak-kanak ini daripada mendaftar mereka untuk kemasukan awal seperti mana yang dibenarkan oleh kementerian.
Kanak-kanak mesti berusia genap 6 tahun pada 1 Januari pada tahun mereka memasuki sekolah. Bagaimanapun, sejak 2003 pengecualian diberikan kepada kanak-kanak bawah umur iaitu dua minggu lebih muda (dilahirkan 2 hingga 15 Januari) jika mereka telah mencapai “usia membaca dan mental” 6 tahun.
Katanya, untuk menentukan “usia membaca dan mental”, kanak-kanak bawah umur dikehendaki melalui proses saringan yang amat menekan.
Peringkat pertama, katanya, ialah ujian bertulis dan jika mereka lulus, mereka akan menjalani temuduga secara lisan.
Saringan ini berpusat dan dijalankan pada dua tarikh berlainan oleh Kementerian Pendidikan di satu pusat di setiap negeri.
Di Pulau Pinang, pada tahun ini pusatnya ialah di daerah Bukit Mertajam. Di Selangor, pada tahun lepas pusatnya di Shah Alam.
“Proses ini mengecewakan ibu bapa untuk mendaftar anak-anak mereka dan amat menekan bagi kanak-kanak yang terpaksa melakukan perjalanan yang jauh untuk mengambil ujian itu,” katanya.
Kanak-kanak di bawah umur ini tidak akan diletakkan di sekolah khas tetapi akan memasuki sekolah yang sama dengan kanak-kanak 6 tahun.
“Pegawai kementerian menghabiskan begitu banyak masa membuat persediaan dan menjalankan dua peringkat “saringan” padahal penilaian “usia membaca dan mental” kanak-kanak di bawah umur itu boleh dilakukan dengan mudah,” katanya.
Semua kanak-kanak yang memasuki Tahun 1 perlu mengambil ujian dalam tempoh beberapa hari pertama persekolahan untuk tujuan penempatan, iaitu sama ada mereka akan ditempatkan di kelas A, B, C dan sebagainya menurut “usia membaca dan mental” mereka.
“Memandangkan kanak-kanak di bawah umur akan ditempatkan di sekolah dan kelas yang sama dengan mereka yang berusia 6 tahun, mereka seharusnya mengambil ujian yang sama dan tertakluk kepada syarat mereka akan diterima hanya jika mereka lulus (biasanya 50% markah atau lebih) dan jika tidak mereka perlu menunggu sehingga mereka mencapai “usia membaca dan mental” 6 tahun,” ujarnya.