
“Saya mohon satu sahaja, rakyat mesti bertenang, pelihara keamanan terimalah seadanya, kita tidak mahu sesuatu yang tidak diingini berlaku lagi,” kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub pada sidang media lewat malam tadi.
Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada pukul 9.41 malam tadi.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad menzahirkan nada yang sama dengan mengatakan pihaknya menyediakan kumpulan perubatan terbaik sepanjang Muhammad Adib menerima rawatan.
“Kita dah sediakan ‘best team’ sedaya upaya. Kita guna kemudahan terbaik dengan ‘team’ forensik,” katanya.
Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berkata pihak polis bekerja keras bagi memastikan pesalah jenayah kejam yang menimpa Adib dibawa ke muka pengadilan dengan pantas.
“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Adib…kami berkongsi kesedihan keluarganya dan negara berkabung bersama keluarga Adib dalam masa getir ini,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.
Menteri yang bertanggungjawab bagi perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial itu berkata fabrik sosial negara ini terbina daripada perpaduan dan keamanan yang dikecapi sejak sekian lama.
Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Adib antara anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba Subang Jaya dikerahkan ke tempat kejadian, susulan protes berkaitan penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman yang menyaksikan perusuh membakar beberapa kenderaan.
Beliau dilapor cedera parah selepas ditarik keluar dari kenderaan EMRS dan diserang sekumpulan perusuh di depan kuil.
Adib dimasukkan ke unit rawatan rapi Pusat Perubatan Subang Jaya kira-kira 1 pagi 27 November lalu, sebelum dipindahkan ke IJN, keesokan malamnya.