Koroner ada kuasa untuk hukum atas kesalahan hina mahkamah, kata peguam

Koroner ada kuasa untuk hukum atas kesalahan hina mahkamah, kata peguam

Koroner juga boleh beri kebenaran kepada pihak yang berminat untuk merujuk mana-mana individu kerana membuat kenyataan tidak wajar di luar mahkamah, kata A Srimurugan.

Keputusan Mahkamah Rayuan bahawa prosiding penghinaan boleh dimulakan oleh koroner kini mengikat kerana peguam negara memutuskan untuk tidak merayu, kata peguam A Srimurugan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Koroner kini diberi kuasa untuk mensabitkan mana-mana individu kerana menghina mahkamah semasa prosiding inkues, kata seorang peguam.

A Srimurugan berkata, koroner juga boleh memberikan kebenaran kepada pihak yang berkepentingan untuk merujukkan mana-mana individu kerana membuat kenyataan tidak wajar di luar mahkamah.

“Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan awal tahun ini, prosiding penghinaan boleh dimulakan di Mahkamah Koroner,” katanya kepada FMT.

Srimurugan berkata demikian sebagai respons kepada keputusan peguam negara minggu lepas untuk menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

“Memandangkan rayuan di hadapan Mahkamah Persekutuan tidak lagi diteruskan, keputusan Mahkamah Rayuan menjadi undang-undang dan menjadi duluan yang mengikat,” katanya.

Pada 8 Feb, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Suraya Othman berkata, hakim Mahkamah Sesyen yang bersidang sebagai koroner mempunyai bidang kuasa bawah Akta Mahkamah Rendah untuk mendengar dan menghukum sesiapa yang melakukan penghinaan.

Dalam menolak rayuan bekas peguam negara Tommy Thomas, Suraya juga memutuskan bahawa penghinaan boleh dihukum walaupun ia berlaku di luar kamar mahkamah.

Pada 28 Jan 2020, pesuruhjaya kehakiman ketika itu Meor Hashimi Abdul Hamid berkata, Mahkamah Koroner mempunyai bidang kuasa untuk memberikan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Thomas kerana memfailkan afidavit semasa inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Bagaimanapun, koroner tidak mendapati Thomas bersalah atas tuduhan menghina kerana fakta material tidak didedahkan oleh bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid.

Thomas membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai isu bidang kuasa.

Mohd Kassim turut memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Meor Hashimi kerana Thomas didakwa menghina Mahkamah Koroner melalui pemfailan afidavit oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April 2019, yang menyatakan kematian anaknya bukan kerana kecederaan disebabkan seseorang.

Beliau juga menuduh Thomas, yang menjadi peguam negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020, melakukan penghinaan dengan mengeluarkan kenyataan media pada 28 Mei 2019 ketika inkues kematian Adib sedang berjalan.

Minggu lepas, keluarga Adib menamatkan tindakan undang-undang terhadap Thomas.

Pada 27 Sept 2019, koroner Rofiah Mohamad memutuskan bahawa “lebih daripada dua orang yang tidak dikenali” telah membunuh Adib, yang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya selepas ditugaskan ke lokasi rusuhan di luar kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Adib, 24, yang merupakan anggota bomba dan penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan pada 27 Nov 2018 itu dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.