Sanusi tiba di mahkamah untuk didakwa

Sanusi tiba di mahkamah untuk didakwa

Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor ditahan awal pagi tadi dan dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang sebentar lagi.

Anggota polis mengawal ketat perkarangan kompleks mahkamah Selayang sementara menunggu ketibaan Sanusi Nor.
SELAYANG:
Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor tiba di Mahkamah Sesyen, di mana beliau dijangka berdepan dua pertuduhan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional itu tiba pada 9.01 pagi dan dijangka menghadapi dua pertuduhan berasingan di depan Hakim Osman Affendi Shalleh dan Nor Rajiah Mat Zin.

Ahli Parlimen Jerlun, Abdul Ghani Ahmad dan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim antara penyokong PN serta PAS yang hadir di kompleks mahkamah untuk memberi sokongan kepada Sanusi.

Kawalan keselamatan di sekitar kompleks mahkamah diperketatkan dengan kehadiran polis.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini menggesa ahli parti bertenang dan menghormati proses undang-undang.

Terdahulu, lidah pengarang PAS, HarakahDaily menerusi akaun Twitternya memaklumkan Sanusi ditahan 3 pagi tadi untuk dibawa ke IPD Gombak.

Sanusi dalam ceramah baru-baru ini dilaporkan membuat perbandingan antara Sultan Kedah dan Selangor, dengan berkata Sultan Kedah tidak akan melantik Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor.

Adun Jeneri itu kemudian memohon maaf atas kenyataan itu yang didakwanya diputarbelitkan pesaing politiknya dalam kerajaan perpaduan.

Semalam, Sultan Sharafuddin bertitah, isu berkaitan kenyataan Sanusi itu “belum selesai”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.