
Pengarah Eksekutif Datuk Shamsuddin Bardan mencadangkan potongan gaji itu diberi kepada satu badan untuk menguruskan bon berkenaan, dan bon itu diberi faedah dan dividen.
“Jika pekerja nanti mahu pulang ke negara asal dan telah memenuhi secara keseluruhan kontrak ditetapkan jadi bon ini hendaklah dipulangkan kepada pekerja termasuklah dividen dan faedah yang didapati,” katanya kepada FMT.
“Bila pekerja itu melarikan diri tanpa memenuhi kontrak yang ditetapkan barulah bon berkenaan dibayar kepada majikan sebagai pampasan,” tambahnya.
Menteri M Kula Segaran mencadangkan majikan dibenarkan menolak 20% daripada gaji asas bulanan pekerja asing, mengatakan isu pekerja asing melarikan diri bebanan besar yang dihadapi majikan.
Beliau berkata dengan langkah itu majikan tidak berdepan kerugian ke atas pelaburan untuk membawa masuk pekerja berkenaan.
Kula berkata wang yang dipotong akan disimpan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan mendakwa langkah itu berjaya dilaksanakan di Jepun dan Korea Selatan.
Cadangan itu bagaimanapun dibantah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Pulau Pinang, mengatakan idea itu “simplistik” dan mengabaikan punca pekerja asing melarikan diri, dan menambah idea itu mungkin menyalahi undang-undang buruh.
Shamsuddin berkata cadangan tersebut tidak menganiaya pekerja asing.
“Pekerja itu pada akhirnya memenuhi tanggungjawab mereka wang berkenaan akan dipulangkan kepada mereka dengan dividen dan faedah. Jadi tidak ada isu mengenai penganiayaan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan majikan turut tertaniaya apabila pekerja mereka melarikan diri.
“Tidak ada sesiapapun yang membela majikan-majikan dan perkara ini pada akhirnya membendung kehadiran pekerja asing tanpa izin,” katanya.
Shamsuddin berkata dari sudut undang-undang, pekerja yang melarikan diri daripada majikan akan dianggap pekerja asing tanpa izin.
“Jadi secara tidak langsung kita dapat kurangkan isu pekerja asing tanpa izin,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata jumlah potongan 20% yang dicadangkan itu masih boleh dibincangkan.
“Mungkin boleh kurang tetapi yang pentingnya dari segi prinsip bila ada potongan sedemikian bon berkenaan juga mendapat faedah dan juga dividen,” katanya.