
Ketua menteri Sabah itu berkata, Warisan yang kini menerajui kerajaan Sabah sentiasa terbuka demi penyatuan rakyat dan membangunkan negeri ini.
“Setakat ini, memang ada wakil rakyat bebas menyatakan keinginan menyertai kita (Warisan) dan kita terbuka, namun dalam kerjasama ini saya harap tiada sebarang syarat diminta mana-mana pihak,” katanya selepas penyampaian pembayaran balik pinjaman Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) kepada kerajaan negeri di luar sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Semalam, 14 wakil rakyat Umno Sabah bertindak keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas dan menyatakan sokongan kepada kerajaan.
Shafie berkata, kerajaan sentiasa mementingkan rakyat dan akan terus membantu membangunkan semua kawasan di negeri ini, termasuk kawasan yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu.
“Kerajaan mempunyai dasar kita akan membantu semua rakyat di negeri ini…kita tidak ada sebarang sekatan dalam parti ataupun kerajaan bagi memastikan negeri ini terus dibangunkan.”
Mengenai penyampaian bayaran balik pinjaman itu, Shafie berkata, Sedco membayar RM7 juta sebagai bayaran balik pinjaman daripada kerajaan negeri.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada pimpinan Sedco yang berupaya membayar balik pinjaman kepada kerajaan negeri dan saya berharap prestasi pengurusan Sedco terus dipertingkatkan agar berupaya melaksanakan peranan menyuburkan ekonomi di negeri ini, sekaligus mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan di negeri ini.”