
N Surendran memetik Seksyen 3(1) Enakmen 1989 yang menyatakan Pulau Kukup tidak boleh digazetkan sebagai taman negara kerana statusnya kini ialah tanah kesultanan.
“Hanya tanah milik negeri boleh diwartakan sebagai taman negara,” kata Surendran yang mengetuai kumpulan peguam, Lawyers for Liberty yang sebelum ini mempersoalkan status taman negara Pulau Kukup ditukar kepada tanah kesultanan.
“Oleh itu, Pulau Kukup tidak boleh diwartakan sebagai taman negara kerana kerajaan Johor memutuskan ia sebagai ‘tanah kesultanan’ di bawah Enakmen 1934.”
Memetik Seksyen 2(1) Enakmen 1934, Surendran berkata, tanah kesultanan tidak dianggap “hartanah negeri”.
Katanya, mewartakan semula Pulau Kukup hanya boleh dilakukan sekiranya kerajaan negeri mengambil alih pemilikan tanah berkenaan.
Kerajaan negeri Johor sebelum ini memberi jaminan bahawa Pulau Kukup yang terletak dalam daerah Pontian akan kekal sebagai taman negara.
Kerajaan Johor baru-baru ini memberi jaminan Pulau Kukup yang terletak di daerah Pontian, akan kekal sebagai taman negara.
Menteri Besarnya, Datuk Osman Sapian dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat pengesahan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Osman berkata, sultan turut memutuskan kerajaan negeri akan menjaga dan menguruskan Pulau Kukup di bawah Perbadanan Taman Negara Johor.
Katanya, keputusan mewartakan semula Pulau Kukup sebagai taman negara dibuat kerajaan Barisan Nasional terdahulu.
Pulau Kukup yang berkeluasan 647 hektar dan mempunyai ekosistem paya bakau, menjadi taman negara sejak 1997.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini berkata, Pulau Kukup yang dibatalkan status sebagai rizab taman negara akan menjadi tanah kesultanan dan langkah itu bagi memastikan pulau tidak berpenghuni itu dilindungi lebih baik.
Tunku Ismail berkata, pembangunan Pulau Kukup bukan urusan kerajaan persekutuan, tetapi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Putrajaya bertanggungjawab terhadap semua negeri di negara ini.