
Rang undang-undang yang dikemukakan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal itu diluluskan dengan 45 undi, lebih 2/3 majoriti yang diperlukan untuk meminda perlembagaan negeri.
Lima Adun tidak menghadiri sidang DUN hari ini, iaitu Adun Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor (Sulaman), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Bobbey Suan (Nabawan) dan Datuk Arifin Mohd Arif (Membakut).
Pindaan itu akan menyaksikan Perkara 2(3) Perlembagaan Sabah yang menyatakan “Seseorang tidak boleh memegang jawatan Yang di-Pertua Negeri melebihi 2 penggal, sama ada secara berterusan atau sebaliknya” dikeluarkan.
Peruntukan itu dimasukkan dalam Perlembagaan Sabah pada 1987 oleh kerajaan negeri pimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi memberi peluang kepada kaum lain memegang jawatan itu.
Shafie dalam ucapannya berkata, pindaan itu dibuat bagi mengembalikan perkataan asal di bawah Lampiran B Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang tidak mengehadkan tempoh bagi jawatan gabenor negeri.
Katanya, ia adalah perubahan pertama dilakukan Warisan ke atas Perlembagaan Sabah bagi mengembalikan semua perkataan dalam MA63.
“Saya sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang diketuai seorang bekas peguam besar negeri untuk mengkaji perlembagaan dan ordinan itu.
“Sabah mempunyai banyak kepentingan yang perlu kita pertahankan, bukan hanya kedaulatan kita, tetapi juga hak Sabah dan rakyatnya.
“Buat masa ini, kita perlu melakukan perubahan ini kerana gabenor ialah simbol penting bagi kita dan mengehadkan penggalnya akan menjatuhkan martabat institusi.”
Tun Juhar Mahiruddin dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 1 Januari 2011 dan khidmat 2 penggalnya akan tamat 31 Disember ini.
Juhar membenarkan Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 12 Mei lalu, hanya 2 hari selepas Musa mengangkat sumpah ke jawatan sama.
Beliau turut membuat laporan polis terhadap Musa atas dakwaan intimidasi jenayah.
Mengenai kebimbangan pindaan itu dilakukan sebagai ganjaran buat Juhar atas peranannya dalam isu pelantikan 2 ketua menteri, Shafie berkata, beliau tahu mengenai dakwaan itu, tetapi memberi jaminan mereka berdua tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan berhubung perkara itu.
Seramai 10 Adun membahaskan rang undang-undang itu, termasuk 4 wakil rakyat pembangkang dan 5 Adun kerajaan.