2 syarikat didakwa sebabkan pelajar maut kena bilah mesin rumput

2 syarikat didakwa sebabkan pelajar maut kena bilah mesin rumput

Jika sabit kesalahan pengarah MI Yusof Enterprise dan Hisham Rais (M) Sdn Bhd boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada 13 Februari lalu, seorang pelajar tingkatan 2 maut selepas bilah pisau mesin rumput terpelanting dan terkena kepalanya. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Dua syarikat kontraktor hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar dan 2 lagi cedera dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, Februari lepas.

Pengarah MI Yusof Enterprise Mohd Yusof Ismail dan Pengarah Hisham Rais (M) Sdn Bhd Hishamudin Rais membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Maimoonah Aid.

Syarikat MI Yusof Enterprise didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat bagi penggunaan traktor pemotong rumput jenis Kubota sehingga menyebabkan kematian pelajar perempuan, Nur Afini Roslan, 14, dan kecederaan kepada Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, di padang SMK Tuanku Abdul Rahman pada 10.20 pagi, 13 Feb lalu.

Sementara syarikat Hisham Rais (M) Sdn Bhd pula dituduh gagal menyelia penggunaan traktor pemotong rumput tersebut sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan kepada pelajar terbabit dalam kejadian yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Sembilan, Intan Noorashikin Nasaruddin.

Maimoonah kemudian menetapkan 20 Mac tahun depan sebagai tarikh sebutan semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.