
“Dari segi perlembagaan, ia boleh dilakukan, tiada salah. Tetapi, ahli politik perlu memberi alasan untuk mewajarkannya,” kata bekas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Douglas Primus Sikayun kepada FMT.
“Ia tidak begitu baik jika DUN tidak mengehadkan penggal kerana ada orang boleh memegang jawatan itu selamanya seperti seorang sultan. Paling lama pun sehingga 4 penggal.”
Beliau mengulas dakwaan sidang khas DUN akan diadakan minggu ini untuk meminda perlembagaan negeri bagi melanjutkan penggal jawatan gabenor Sabah.
Tun Juhar Mahiruddin dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 1 Januari 2011 dan penggalnya akan tamat tahun ini.
Perlembagaan Sabah memperuntukkan gabenor negeri dilantik 1 penggal selama 4 tahun dan jawatan itu tidak boleh dipegang melebihi 2 penggal secara berterusan atau sebaliknya.
Sikayun menggesa wakil rakyat mengkaji Perlembagaan Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang sebelum meneruskan sebarang langkah untuk meminda Perlembagaan Sabah berhubung perkara itu.
Beliau mendapati Perlembagaan Sabah pada asalnya membenarkan gabenor berkhidmat sebagai ketua negeri selama mungkin, berdasarkan kemampuan mereka.
Bagaimanapun, katanya, Parti Bersatu Sabah (PBS) meminda perlembagaan negeri dengan mengehadkan jawatan itu kepada 2 penggal.
Tun Mohamad Adnan Robert ialah satu-satunya gabenor Sabah yang berkhidmat lebih 2 penggal.
“Ini adalah keputusan politik,” kata Sikayun.
Adnan diheret dalam perebutan jawatan ketua menteri Sabah antara Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Tun Datu Mustapha Harun pada 1985.
Pairin dan Mustapha bertegas sudah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di depan Adnan, susulan pilihan raya negeri pada tahun sama yang menyaksikan kerajaan Berjaya pimpinan Tan Sri Harris Salleh tumbang.
Adnan kemudiannya terpaksa hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes itu.
Sebelum ini, ada gesaan meminda Perlembagaan Sabah supaya penggal Yang di-Pertua Negeri tidak dihadkan, khasnya oleh Persatuan Bumiputera Bajau Semporna Sabah pada 2013.
Presidennya, Mansor Santiri mencadangkan peruntukan dalam perlembagaan negeri dikembalikan kepada versi asal, selepas Sabah mencapai kemerdekaan.
“Perlembagaan negeri asal dipinda kerajaan PBS pada 1980-an atas sebab-sebab politik ketika itu.”
Katanya, jika sistem pencen selepas 2 penggal dikekalkan, kerajaan perlu terus membayar pencen ramai bekas gabenor Sabah.