
Khairy, yang juga bekas calon presiden Umno dalam pemilihan parti Jun lalu, berkata beliau tidak terlibat sama dalam hal berkenaan jika pun komplot itu benar.
“Saya tak dengar apa-apa, saya tak tahu apa-apa, kalau ada sebarang usaha, ia tidak melibatkan saya,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar NST yang mendakwa terdapat kalangan pimpinan parti itu merumuskan laluan untuk Zahid berundur daripada jawatannya.
Khairy bagaimanapun mengakui wujud perbincangan dan banyak pandangan dalam kalangan anggota parti itu yang mempersoalkan kedudukan Zahid sebagai presiden, namun perkara itu belum muktamad.
“Soal kedudukan dia sebagai presiden banyak dibahaskan dan pandangan dilontarkan dalam (kalangan) ahli Umno…saya pun ada dengar beberapa Ahli Parlimen kata yang ada perbincangan tidak formal selepas sidang Parlimen ini, tapi saya tak pasti ada kaitan dengan isu ini atau tidak,” katanya.
Persidangan Parlimen yang bermula 15 Oktober lalu berakhir esok.
Zahid bagaimanapun ketika ditemui enggan mengulas dakwaan itu.