
Beliau berkata, angka tersebut menunjukkan peningkatan 37% berbanding pencapaian pada tahun 2017 (Julai hingga Dis 2017, iaitu 115,000 penumpang sehari).
“Pertambahan bilangan penumpang ini menggambarkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan dan kecekapan perkhidmatan rel bandar yang semakin meningkat.
“Selaras dengan matlamat kerajaan menjadikan pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan utama pilihan rakyat, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan lagi bilangan penumpang MRT,” katanya menjawab soalan Senator Ismail Yusop pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Ismail ingin tahu mengenai perancangan untuk mengatasi masalah tahap pengguna MRT yang rendah berdasarkan kajian Center for Governance and Political Studies (Cent-GPS).
Kamarudin berkata, antara inisiatif yang dilakukan ialah pelaksanaan sistem tiket bersepadu antara perkhidmatan rel dan sistem bas pengantara bagi memudahkan akses penumpang MRT, dan peningkatan operasi MRT pada waktu puncak iaitu setiap 4 minit.
“Pada 1 Dis lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut melancarkan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.