
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, selain itu seramai 7 individu daripada 66 individu yang dicari polis sebelum ini telah tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Dalam perkembangan sama, ditanya mengenai sama ada polis telah mengambil keterangan Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, anggota bomba yang cedera teruk dalam kekecohan it, Mohamad Fuzi berkata, polis masih belum mengambil keterangan beliau kerana belum pulih sepenuhnya.
“Proses rakaman percakapan dia (Muhammad Adib) belum dilaksanakan lagi kerana keadaan kesihatannya yang belum mengizinkan, insya-Allah kami akan terus rakam percakapannya apabila telah sihat kembali,” katanya pada sidang media sempena majlis berkhatan perdana di Masjid Bukit Aman hari ini.
Berikutan itu, mengenai suspek utama yang memukul Muhammad Adib, beliau berkata, polis masih belum mengenal pasti suspek sebenar dan siasatan ke arah itu sedang dibuat oleh pasukan petugas khas diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.
Mohamad Fuzi berkata, siasatan yang diketuai oleh Wan Ahmad akan dibuat bersama JSJ Bukit Aman dan JSJ Selangor.
Insiden rusuhan pada 26 Nov itu berkaitan dengan unsur jenayah, menyebabkan kecederaan parah kepada seorang anggota bomba Muhammad Adib yang kini dirawat di Institut Jantung Negara, selain kemusnahan 23 kenderaan yang dibakar perusuh, kerosakan sebuah bangunan serta gangguan kepada ketenteraman awam.