
“Saya hendak tanya dulu, adakah beliau (Liew) terlibat dalam mesyuarat Kabinet dahulu?” soalnya ringkas sewaktu ditemui media di Parlimen, hari ini.
Semalam, Liew menyatakan Ops Yaman 2 yang menempatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Arab Saudi sejak 2015 dihentikan pada 4 Sept lepas. Beliau turut difahamkan Ops Yaman 2 tidak mendapat persetujuan Kabinet.
Liew berkata, penarikan balik penempatan tentera itu dibuat selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) melihat ia tidak selaras dengan dasar pengecualian Malaysia.
Liew turut memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia sebelum ini menugaskan 42 pegawai tentera ke Riyadh, Arab Saudi pada April 2015 untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Yaman. Operasi berkenaan dikenali sebagai Ops Yaman 1.
Bagaimanapun, pada Jun 2015, misi itu ditukar menjadi misi logistik yang dikenali sebagai Ops Yaman 2 dengan penglibatan 94 pegawai tentera. Ketika itu, kata Liew, Kabinet tidak dimaklumkan.
“Mereka membantu Pakatan Arab Saudi dari segi peralatan, peluru dan bahan letupan,” kata Liew.
Dalam perkembangan lain, Zahid memberi jaminan himpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada Sabtu ini bebas dari unsur perkauman dan sensitif.
Presiden Umno itu sebaliknya berkata, himpunan gabungan PAS dan Umno itu hanya untuk menyatakan kesyukuran atas pembatalan ICERD.
“Saya mewakili kawan-kawan dengan Umno dan PAS akan tetap pergi dan ini mesti dipisahkan daripada isu-isu perkauman.
“Pertemuan yang kita lakukan dalam bentuk himpunan itu untuk menyatakan penghargaan, kesyukuran dan terima kasih di atas keputusan yang dibuat pihak kerajaan khususnya keputusan Kabinet yang dalam kenyataan media menunjukkan kerajaan menolak ICERD untuk diratifikasikan,” katanya.