
Setiausaha Agung Lim Wei Jiet berkata penggunaan undang-undang yang menindas secara berterusan mencabul integriti dan kredibiliti usaha membina Malaysia Baharu.
“Kerajaan menyokong sepenuhnya niat kerajaan memulihkan keamanan dan ketenteraman awam, dan menghukum mereka yang menghasut kebencian kaum dan merusuh mengikut undang-undang.
“Namun, kerajaan sekarang tidak boleh mencontohi pentadbiran dahulu menggunakan undang-undang menindas untuk menangani masalah yang berbangkit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri membenarkan polis menggunakan undang-undang kontroversi yang sedang dikaji kerajaan kerana keadaan semasa, selepas keganasan meletus dalam kontroversi kuil Seafield.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu disetujui jemaah menteri Jumaat lalu. Undang-undang kontroversi itu ialah Akta Hasutan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma, Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan Akta Pencegahan Keganasan (Pota), serta Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Hakam mengingatkan kerajaan bahawa Sosma dan Poca memberi kuasa luas kepada pihak berkuasa untuk menahan seseorang bagi suatu tempoh yang panjang tanpa bicara dan tanpa pengawasan badan kehakiman. Ungkapan Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula terlalu sewenang-wenang dan banyak kali terdedah kepada penyalahgunaan kuasa.
Penggunaan Pota pula dianggap tidak wajar kerana pergaduhan di kuil tersebut tiada kaitan dengan keganasan.
“Sudah ada peruntukan undang-undang yang mencukupi untuk menangani masalah yang berbangkit,” kata Lim.
Hakam menyarankan kerajaan memanfaatkan peruntukan Kanun Tatacara Jenayah dan Kanun Keseksaan seperti tahanan reman 14 hari, Seksyen 298, Seksyen 504 dan Seksyen 505.
Seksyen 298 memperuntukkan hukuman bagi kesalahan menyebut perkataan dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama seseorang, Seksyen 504 pula bagi kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, sementara Seksyen 505 pula bagi kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
“Ketenteraman awam dan hak asasi manusia boleh seiring. Kerajaan mesti membuktikan itulah caranya untuk Malaysia maju ke depan,” katanya.