Kuil Seafield: Polis soal exco Selangor lebih 1 jam

Kuil Seafield: Polis soal exco Selangor lebih 1 jam

V Ganabatirau disoal tentang kenyataan di Facebook mengatakan 'Muslim group' menyerang Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

V Ganabatirau disiasat bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
SHAH ALAM:
Exco Selangor V Ganabatirau disoal selama lebih 1 jam oleh polis berhubung kenyataannya tentang keganasan yang berlaku di kuil Seafield 26 November lepas.

Tiga orang polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor tiba di pejabat exco pemberdayaan dan pembangunan sosial ekonomi dan kerajaan prihatin pada 6.20 petang tadi dan selesai mengambil keterangan pada 8.04 malam.

Ganabatirau sebelum ini dikecam ramai pihak kerana mengatakan “Muslim group” atau kumpulan orang Islam menyerang Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya dalam satu catatan Facebook.

Menurut laporan media, Ganabatirau kemudian menyunting catatan itu, menggantikan “Muslim group” kepada “group of gangsters” atau sekumpulan samseng.

“Apa yang saya telah terangkan di hadapan media, saya telah terangkan kepada mereka. Tiada yang lebih, tiada yang kurang,” katanya.

“Mereka juga tanya berapa kali permohonan maaf saya,” katanya, yang berkata dia memohon maaf sebanyak 3 kali iaitu pada 27 dan 28 November semasa dan selepas sidang Dewan Negeri Selangor.

Ganabatirau memberitahu dia disiasat bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Beliau berkata dia tidak berniat menimbulkan kekecohan, dan dalam kenyataan kontroversi itu dia juga meminta polis segera bertindak menangani kekecohan yang berlaku dan memberi perlindungan kepada masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.