Maszlee komited pantau kerja baiki sekolah daif di Sarawak setiap 2 minggu

Maszlee komited pantau kerja baiki sekolah daif di Sarawak setiap 2 minggu

Kementerian mahu memastikan guru dan pelajar mendapat persekitaran pembelajaran dan pengajaran kondusif.

Dr Maszlee berkata, kerajaan pusat dan kementerian Pendidikan akan terus membantu sekolah daif di negeri itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menzahirkan komitmen akan memantau usaha penambahbaikan sekolah daif di Sarawak secara peribadi bagi memastikan guru dan pelajar mendapat persekitaran pembelajaran dan pengajaran yang kondusif.

Dalam satu catatan di laman Facebook Kementerian Pendidikan, Maszlee berkata, beliau secara peribadi akan memantau perkembangan itu setiap 2 minggu untuk melihat kemajuan projek penambahbaikan secara konsisten.

“Saya akan memantau perkembangan sekolah daif secara peribadi secara dwimingguan demi memastikan progres naik taraf akan berlaku secara konsisten,” tulis beliau.

Maszlee berkata demikian dalam tulisan yang bertajuk “Premis uzur tapi guru komited” selepas mengadakan lawatan kasih sayang ke 2 buah sekolah di Bintulu, iaitu Sekolah Kebangsaan Sg Selad dan Sekolah Kebangsaan Sg Setiam semalam.

“Keadaan sekolah dan asrama sangat uzur, tetapi para guru memperlihatkan komitmen yang tinggi untuk berbakti, menjalankan amanah mereka demi pelajar mereka.

“Saya dapat menyaksikan keadaan asrama yang sangat uzur, tetapi tetap dihias dengan baik. Syabas guru, warden dan penyelia asrama. Tiada katil, hanya pangkin dan tilam bantal yang uzur,” kata beliau.

Maszlee di sebuah asrama sekolah daif di Sarawak. (Gambar Facebook)

Maszlee berkata, di Sekolah Kebangsaan Sg Selad, hampir setiap hari kelas ditenggelami apabila air pasang.

“Saya faham isi hati para guru dan murid kedua-dua sekolah ini. Kerajaan Pusat dan Kementerian Pendidikan akan terus membantu sekolah daif di Sarawak,” katanya.

Pada 6 Sept lepas, beliau yang mengadakan lawatan pertamanya ke sekolah daif di Sarawak komited untuk memastikan sekolah daif di negeri itu diatasi dalam tempoh 5 tahun.

“Pertama saya sedih lihat keadaan sekolah daif wujud di pinggir bandar walaupun kita (Kementerian Pendidikan) belum masuk ke kawasan pedalaman lagi.

“Ini sekolah pada tahun 2018, tetapi keadaannya sama seperti 40 tahun dahulu,” katanya dalam satu laporan FMT susulan lawatannya ke beberapa sekolah daif di Sarawak awal Sept lalu.

Ketika itu beliau melawat beberapa sekolah di kawasan Samarahan dan Simunjan, antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Terasi, SK Abang Man dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sadong dan SMK Sadong Hilir.

Maszlee berkata beliau yakin jika kerajaan menyediakan prasaran lebih baik, mereka dapat menyelesaikan masalah kualiti pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.