Kuil Seafield pindah tanpa persetujuan penganut, dakwa persatuan

Kuil Seafield pindah tanpa persetujuan penganut, dakwa persatuan

Penasihat Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman Ikon Shah Alam berkata hanya 2 individu yang menuntut pengurusan kuil itu bersetuju untuk berpindah.

PETALING JAYA: Sebuah persatuan penganut Hindu hari ini mendakwa penganut tidak pernah bersetuju dengan pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, walaupun 2 individu yang menuntut pentadbiran kuil menandatangani perjanjian persetujuan yang dicapai di Mahkamah Tinggi pada 2014.

Penasihat Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman Ikon Shah Alam, Datuk Seri R Balakrishnan berkata hanya K Chellappa dan M Nagaraju bersetuju untuk berpindah, sehingga Nagaraju menukar pendirian dan mendakwa “dia dipaksa tandatangan”.

“Penduduk sekitar dari awal tidak setuju 2 individu itu tandatangan dengan One City untuk berpindah,” kata Balakrishnan, merujuk kepada One City Development, syarikat pemaju yang memiliki tanah tapak kuil itu.

Balakrishnan berkata isu perpindahan semakin rumit apabila Chellappa dan Nagaraju bergaduh sehingga terwujudnya 2 kumpulan dalam pentadbiran kuil.

“Isunya pihak pengurusan kuil dipegang oleh 2 orang dan kebanyakan orang tidak tahu,” katanya.

“Dulu Chelappa dan Nagaraju berada dalam 1 persatuan menguruskan kuil tetapi berlaku salah faham dalam isu perpindahan, menyebabkan mereka berpecah.

“Bila berpecah, Nagaraju memaklumkan dia dipaksa tandatangan. Dua pihak itu salah faham tapi orang lain jadi mangsa, sehingga kes ini berlarutan menjadi besar.”

Balakrishnan merujuk kepada penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi pada 11 Mac 2014 yang ditandatangani oleh Chellappa, Nagaraju, One City dan kerajaan Selangor. Dalam persetujuan itu, 4 pihak berkenaan bersetuju kuil itu akan berpindah, tapak kuil diserah kembali kepada pemilik, RM1.5 juta untuk kuil dan tapak untuk pembinaan kuil baharu.

Dalam kes berasingan, Chellappa diisytiharkan sebagai pengurus kuil yang sah.

Persatuan itu dianggotai penduduk tempatan daripada kawasan sekitar, yang dahulunya estet. Kuil itu dikatakan dibina lebih 40 tahun lalu, tetapi penganut mendakwa ia mempunyai sejarah ratusan tahun.

Ahli persatuan itu pada Khamis memohon kebenaran mahkamah untuk menangguhkan proses pengambilalihan semula tanah tapak kuil itu oleh One City tetapi ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari yang sama.

Peguam mewakili pemaju berkata pemohon tidak mempunyai “locus standi” dan One City adalah pemilik sah tanah berkenaan.

Peguam pemohon berkata keputusan itu tidak akan menghalang anak guamnya meneruskan tindakan undang-undang terhadap pemaju, kerajaan Selangor dan jawatankuasa kuil yang merupakan pihak terlibat dalam penghakiman persetujuan 2014.

Kuil berkenaan dijadualkan berpindah pada 22 November lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.