
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Baru, Ng Sze Han berkata, jumlah rumah terbiar di Shah Alam adalah sebanyak 1,995, diikuti Petaling Jaya (178), Kajang (114), Ampang Jaya (360), Subang Jaya (568), Selayang (190), Klang (119), Sepang (152), Kuala Langat (988), Hulu Selangor (63), Kuala Selangor (150) dan Sabak Bernam (30).
Dalam ucapan, Ng turut menyatakan di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976, satu notis kacau ganggu juga akan dikeluarkan kepada pemilik rumah bagi membersihkan kawasan rumah mereka.
“Sekiranya ingkar notis, kerja-kerja pembersihan akan dilaksanakan oleh PBT dan segala kos yang terlibat akan dituntut daripada pemilik,” katanya di DUN Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) yang bertanyakan jumlah rumah terbiar yang ada di Selangor dan pembersihan oleh PBT di rumah terbiar berkenaan.
Mengulas lanjut, Ng berkata bagi pendekatan jangka pendek, PBT turut membersihkan rumput dan semak samun di rumah-rumah kosong yang terbiar dan terbengkalai sebanyak 2 kali setahun.
Katanya, tujuan pembersihan seperti rumput dan semak samun tersebut bagi mengelak kacau ganggu di kawasan perumahan itu.
Mengulas mengenai perancangan jangka panjang kerajaan negeri sama ada akan mengambil semula rumah terbengkalai tersebut, Ng berkata sekiranya pemilik tidak membayar cukai tanah, mereka berhak mengambil balik.
“Kalau pemilik tak bayar cukai tanah kerajaan negeri berhak mengambil balik rumah tersebut.”