
Jurucakap mewakili JMB Skypark, The Place dan The Square, Choong Li Loh berkata One City @ USJ 25 bukannya milik pemaju, tetapi hartanah yang dimiliki 939 pemilik individu, termasuk premis perniagaan dan menara pejabat di One City USJ 25.
“Pemilik tanah di mana Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di USJ 25 dimiliki One City Development Sdn Bhd (anak syarikat MCT Berhad). Pihak mereka tidak ada kaitan langsung dengan pihak kami,” katanya dalam sidang media hari ini.
Pengerusi JMB The Square itu berkata, One City Development Sdn Bhd yang dimiliki MCT Berhad hanyalah penyewa dan tidak memiliki bangunan itu, manakala logo One City yang terpapar di bangunan digunakan untuk tujuan pemasaran.
“Ya, ada salah faham besar di sini, saya ingin jelaskan One City hanyalah nama atau alat pemasaran. Jadi, jangan salah faham antara syarikat pemaju dengan pihak kami. Kami hanyalah mangsa dalam keadaan ini.”
Choong berkata, pihaknya sendiri sudah membuat laporan polis berhubung rusuhan berdekatan kuil itu awal pagi Selasa lalu, tetapi anggaran kerugian akibat kerosakan dilakukan perusuh ke atas Pusat Beli-belah One City belum dikenal pasti.
“Kami sedang berunding dengan jururunding, masih tidak dapat kenal pasti berapakah jumlah kerugian, tetapi kami akan berunding dengan pihak peguam. Kami hanya mahu menjalankan perniagaan.
“Bisnes akan berjalan seperti biasa, semuanya sekarang ini selamat. Syarikat semua masih dibuka dan berjalan seperti biasa. Ketika ini, yang menyedihkan pemilik perniagaan yang harus membaiki kerosakan sendiri.”
Semalam, One City Development Sdn Bhd menafikan mereka mengupah samseng untuk mencetuskan kekecohan di luar menimbulkan masalah di Kuil Sri Maha Mariamman.
Katanya, syarikat itu tidak memberi kuasa kepada mana-mana orang “mengupah samseng” untuk “memulakan rusuhan” di Kuil Sri Maha Mariamman seperti dilaporkan media, susulan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang siasatan polis menunjukkan pembabitan sekumpulan lelaki diupah pemilik tanah kuil itu dalam keganasan sejak awal pagi Isnin lalu.
Menteri dalam negeri itu berkata, polis mendapati peguam One City Development Sdn Bhd membayar RM150,000 kepada kumpulan itu untuk “mengawal” situasi di kuil Isnin lalu, dengan serangan oleh sekumpulan individu tidak dikenali membawa kepada rusuhan keesokannya.
“Seramai 50 orang diupah untuk melakukan kerja ini yang setiap seorang daripada mereka menerima bayaran antara RM150 hingga RM300.”
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun turut mengesahkan 2 peguam mewakili pemaju antara 21 individu ditahan untuk membantu siasatan kekecohan di sekitar kuil itu.
Hari ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak dengan kos permohonan 3 penganut Hindu kuil itu untuk menangguhkan proses pengambilalihan semula tanah oleh One City Development Sdn Bhd.
Peguam pemaju berkata, S Thangaraju, M M Mohanakrishnan dan S Nagarajah tidak mempunyai locus standi untuk membuat permohonan itu kerana One City Development Sdn Bhd ialah pemilik sah tapak kuil terbabit.
Pada 11 Mac 2014, 4 pihak terdiri daripada kerajaan Selangor, pemilik tanah tapak kuil, One City serta 2 individu yang mendakwa pentadbir kuil, iaitu K Chellappa dan M Nagaraju, menerusi penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam bersetuju menyerahkan tanah itu kepada pemiliknya.
One City Development Sdn Bhd bersetuju menderma RM1.5 juta untuk membina kuil baru di satu daripada 2 lot tanah diberikannya kepada kuil terbabit, sebagai sebahagian penyelesaian kes itu.
Selepas kuil itu menyerahkan hak bagi satu daripada 2 lot tanah itu, One City Development Sdn Bhd akan membayar pampasan RM1 juta.
Bagaimanapun, sekumpulan penganut kuil itu bertegas kekal di tapak sedia ada.