
Perdana menteri berkata masih terdapat banyak rumah-rumah ibadat yang dibina secara tidak sah dan gejala itu perlu dikawal.
Beliau menjawab pertanyaan pemberita apakah langkah perlu diambil bagi mengelakkan masalah rumah ibadat tidak sah, selepas pertikaian antara pemilik tanah dan penganut Hindu di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya membawa kepada rusuhan.
“Pembinaan rumah ibadat mesti mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan. Jadi mereka tak boleh bina di tempat yang bukan kepunyaan mereka.
“Itu sahaja yang boleh jadi jalan penyelesaiannya,” katanya kepada media selepas mesyuarat majlis tertinggi PPBM.
Dr Mahathir menambah masalah pasti timbul apabila rumah-rumah ibadat dibina tanpa diketahui siapa pemiliknya.
“Kemudian tampil pemilik menuntut tanah mereka, ianya akan menjadi satu masalah,” katanya.
Sementara itu, perdana menteri mengakui Putrajaya sukar mencampuri hal penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman kerana ia melibatkan perjanjian persetujuan di peringkat mahkamah.
“Walaupun kerajaan Selangor kata boleh dikekalkan, tetapi ia kena rujuk balik kepada mahkamah,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan isu kuil tersebut mungkin akan dibahaskan di Dewan Rakyat esok.
“Kita tengok macam mana. Terpulang kepada speaker nak bahas atau tidak.”