
One City Development dalam kenyataan hari ini berkata ia tidak memberi kuasa kepada mana-mana orang untuk “mengupah samseng” untuk “memulakan rusuhan” di kuil “seperti yang disebut dalam laporan berita baru-baru ini”.
“Kakitangan di tapak diarah memberi sokongan logistik dan membantu penempatan semula secara teratur di bawah pemantauan polis. Ia terus memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan kejadian itu,” tambahnya.
Kenyataan ini menyusuli kenyataan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa siasatan polis menunjukkan penglibatan sekumpulan lelaki yang diupah syarikat yang memiliki tanah kuil itu dalam keganasan pada Isnin.
Muhyiddin berkata polis mendapati peguam mewakili One City Development, yang mahu mengambil tanah itu susulan satu penghakiman persetujuan pada 2014, membayar RM150,000 kepada kumpulan tersebut untuk “mengawal” situasi di kuil pada Isnin, apabila serangan oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali membawa kepada rusuhan keesokan harinya.
“Seramai 50 orang telah diupah untuk melakukan kerja ini yang setiap seorang daripada mereka menerima bayaran antara RM150 hingga RM300,” katanya.
Menteri berkata tindakan kumpulan itu telah menimbulkan kemarahan penganut Hindu yang berada di kawasan kejadian, sehingga menimbulkan kekecohan dan kerosakan harta benda.
Muhyiddin berkata pihak berkuasa belum pasti sama ada peguam itu bertindak atas arahan pemaju atau bertindak sendirian.
“Andaian kita, dia peguam mewakili One City dan dia diberi peruntukan. Saya tidak fikir peguam bermurah hati untuk beri duit kepada orang ini.
“Tentu ada kaitan dengan usaha untuk ambil tanah ini. Tetapi langkah peguam inilah yang menyebabkan apa yang berlaku. Ini satu tindakan yang tidak tepat,” katanya.
Dua peguam mewakili pemaju antara 21 orang yang ditahan polis untuk membantu siasatan ke atas kejadian itu.