Azis jawab menteri: Kalau polis tak lakukan kerja, ada berlaku kematian

Azis jawab menteri: Kalau polis tak lakukan kerja, ada berlaku kematian

Timbalan menteri dalam negeri mempertahankan usaha polis mengawal keadaan selepas keganasan tercetus di Kuil Sri Maha Mariamman.

Mohd Azis Jamman. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Dalam Negeri mempertahankan usaha polis mengawal keadaan selepas keganasan tercetus di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Timbalan Menteri Datuk Mohd Azis Jamman menolak tuduhan beberapa anggota Kabinet yang mendakwa polis tidak menjalankan kerja dengan baik.

“Saya nak tegaskan kalau polis tidak lakukan kerja mereka, ada berlaku kematian semalam. Keadaan sudah terkawal sekarang disebabkan kecekapan polis,” katanya kepada pemberita di Parlimen.

Azis mengingatkan menteri bahawa mereka tahu polis bertindak mengikut tatacara operasi standard (SOP).

Beliau juga ditanya mengenai “kesilapan” dalam kenyatan awal polis mengenai kejadian tersebut.

“Sudah tentu ada kesilapan tapi sudah dibetulkan,” katanya.

Beliau merujuk kepada sidang media Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor pagi tadi mengatakan kira-kira 50 lelaki Melayu bertembung dengan sekumpulan orang India, berdasarkan siasatan awal.

Bagaimanapun, tangkap layar kenyataan oleh polis Subang Jaya di Facebook pada 5.40 pagi mengatakan 2 kumpulan India terlibat dalam pergaduhan itu.

FMT mendapati kenyataan polis sekarang tidak mempunyai perkataan “India”.

Azis memberitahu media bahawa polis berdepan kekerasan sebaik tiba di kawasan kejadian.

“Saya dapat laporan yang lengkap. Ketika polis sampai, saya difahamkan kereta polis dilempar dan sebagainya dan ada yang menghalang. Bila bantuan sokongan sampai, keadaan sudah kurang terkawal kerana sudah ramai orang,” katanya.

Beliau berkata laporan menunjukkan Unit Simpanan Persekutuan tiba di tempat kejadian sekitar 3.00 pagi. “Dakwaan FRU sampai 6.00 itu tidak tepat,” katanya.

Empat anggota Kabinet hari ini mendakwa polis Subang Jaya lewat bertindak balas dan tidak berkesan menangani keganasan hari ini.

Mereka mempersoalkan mengapa hanya sebuah kereta peronda polis Subang Jaya berada di tempat kejadian pada 4.15 pagi manakala Unit Simpanan Persekutuan tiba pada 6.00 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.