
Bercakap kepada FMT, pengarah undang-undang bersekutu One City, Kamal Effendy menyesali dakwaan “sesetengah pihak”, termasuk ahli politik, kononnya syarikat itu bersetuju untuk menangguhkan penempatan semula tersebut ke 29 Nov ini, iaitu tarikh Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan berhubung permohonan penggantungan pelaksanaan yang difailkan oleh beberapa orang penganut.
Sebelum ini, satu lagi permohonan penggantungan pelaksanaan yang difailkan oleh satu kumpulan penganut lain ditolak oleh mahkamah.
“Kita tidak pernah bersetuju dengan penangguhan penempatan semula (kuil itu). Tarikh akhir penghuni kuil perlu mengosongkan tanah berkenaan ialah pada 22 Nov, seperti dicatatkan dalam writ milikan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.
“Mahkamah Tinggi tidak membuat apa-apa perintah penangguhan interim sementara menunggu keputusan akan datang itu.”
Kamal berkata, hakikatnya, semua isu telah diselesaikan oleh pihak terbabit, termasuk One City, kerajaan negeri Selangor dan pihak penuntut pengurusan kuil, iaitu K Chelappa dan M Nagaraju dalam penghakiman persetujuan yang dicapai di Mahkamah Tinggi pada 2014.
Dalam pada itu, Chellappa dan Nagaraju terlibat dalam saman berasingan berhubung pengurusan kuil, yang dimenangi oleh Chellappa.
Sebagai sebahagian daripada penghakiman persetujuan yang dicapai, semua pihak bersetuju kuil itu akan ditempatkan semula ke satu lot tanah lain, dan One City bersetuju memberi sebanyak RM1.5 juta kepada kuil berkenaan. Kerajaan Selangor juga akan menggazetkan tapak baru kuil tersebut sebagai tempat ibadat.
“Kami sudah lakukan semuanya mengikut undang-undang. Kami libatkan semua pihak dan lalui proses undang-undang. Walaupun kami pemilik sah tanah tersebut, kami berikan lagi RM1.5 juta kepada kuil tersebut.”
Kamal berkata, beliau berharap undang-undang akan dihormati dan semua pihak lebih bertanggungjawab dalam membuat kenyataan supaya keadaan tidak kembali keruh.
Dalam beberapa minggu terakhir ini, sebilangan penganut, NGO dn parti politik menggesa kerajaan campur tangan dan menghalang penempatan semula kuil berkenaan walaupun penghakiman persetujuan telah dicapai.