JUPEM: Peta sempadan negeri dan bandar sedang dikemaskini

JUPEM: Peta sempadan negeri dan bandar sedang dikemaskini

Proses kemaskini sempadan berlangsung pada pelbagai peringkat, termasuk rundingan melibatkan kerajaan negeri.

Ketua Pengarah JUPEM, Ir Mohd Noor Isa berkata, sempadan Pahang-Negeri Sembilan sudah siap diukur dan dimuktamadkan. (Gambar Twitter)
SEREMBAN:
Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) sedang mengemas kini sempadan negeri dan perbandaran di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Ir Mohd Noor Isa berkata, proses tersebut berlangsung pada pelbagai peringkat termasuk rundingan yang melibatkan kerajaan negeri berkenaan.

Setakat ini, sempadan Pahang-Negeri Sembilan sudah siap diukur dan dimuktamadkan, manakala bagi Negeri Sembilan-Melaka serta Negeri Sembilan-Selangor pula kerja pemetaan telah siap, namun belum dimuktamadkan, katanya.

“Negeri lain masih dalam proses kerana proses pemetaan sempadan ini melibatkan kerajaan negeri dan perlukan persetujuan negeri yang bersempadan,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman antara JUPEM dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPS, Datuk Zazali Salehudin dan Pengarah JUPEM Negeri Sembilan, Bernard Sia Siew Fang.

Mengenai pemetaan perbandaran pula, beliau berkata, langkah itu seiring dengan pembangunan pesat yang berlaku di kebanyakan bandar.

“Kita mempunyai lebih 300 bandar dan proses pemetaan ini memakan masa, tetapi dengan teknologi sedia ada dan sokongan pihak berkuasa tempatan, perkara ini boleh dipercepatkan.

“Sebahagian bandar kita sudah buat pemetaannya, termasuk Kuala Lumpur dan Majlis Perbandaran Subang Jaya,” katanya.

Zazali berkata, memorandum persefahaman tersebut bertujuan mewujudkan kerjasama strategik untuk perkongsian data geospatial yang efisien.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.