Editor Sarawak Report terkejut 3 kes masih belum selesai

Editor Sarawak Report terkejut 3 kes masih belum selesai

Ketiga-tiga kes itu direkodkan sejak tahun 2015, 2016 dan terbaru pada tahun ini di atas dakwaan berita palsu mengenai skandal 1MDB.

KUALA LUMPUR: Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown terkejut apabila polis memberitahu masih terdapat 3 kes terhadapnya belum selesai.

Beliau memberitahu pemberita, kes-kes tersebut berkaitan dakwaan berita palsu mengenai skandal 1MDB dan terbuka sejak 2015, 2016 dan paling terbaru tahun ini.

“Saya sangat terkejut. Saya ingatkan kes-kes itu sudah selesai selepas siasatan yang panjang berhubung skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya di luar perkarangan Bukit Aman.

Clare berkata dia dipanggil untuk disoal berhubung laporan polis yang dibuat oleh peguam kepada Sultanah Terengganu, Datuk Mohd Haziq Pillay berkaitan kandungan buku, “The Sarawak Report: The Inside Story of 1MDB Expose”.

Buku yang dilancarkan pada 8 September lalu menceritakan kisah sebalik skandal 1MDB dan buku itu didakwa mengaitkan Sultanah Terengganu dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho.

Clare berkata dia akan terus berhubung dengan polis untuk membantu siasatan kes-kes berkenaan.

“Jadi, siasatan terhadap saya adalah berkenaan dengan berita palsu. Saya dimaklumkan akan dipanggil lagi untuk memberikan keterangan kepada 3 kes yang berasingan,” katanya.

Jelas beliau, sebelum ini pihak polis sudah pernah cuba menghubunginya namun gagal. Atas sebab itu, beliau sendiri tampil ke pihak polis untuk bantu beri keterangan.

“Mereka dah cuba hubungi saya. Tapi tidak berjaya. Selepas rakan-rakan memaklumkan perkara itu, saya sendiri tampil untuk bantu siasatan,” katanya.

Ketika dihubungi, Haziq berkata laporan polis dibuat oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Terengganu, Mohd Azmi Mohamad Daham.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.