Mahkamah Persekutuan kekal keputusan Rewcastle Brown, 2 pihak lain fitnah Sultanah

Mahkamah Persekutuan kekal keputusan Rewcastle Brown, 2 pihak lain fitnah Sultanah

Panel tiga hakim menolak permohonan kebenaran editor Sarawak Report itu, serta penerbit Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press untuk merayu.

Sultanah-Nur-Zahirah_rewcastle-brown-
Sultanah Nur Zahirah memulakan saman fitnah RM300 juta terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown pada 2018 berhubung kenyataan mengaitkan Sultanah Terengganu itu dengan skandal 1MDB.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown dan dua pihak lain bertanggungjawab memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran Rewcastle Brown, penerbit Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd untuk merayu berdasarkan empat persoalan undang-undang yang dikemukakan.

Pengerusi panel Hakim Nallini Pathmanathan berkata, tiada persoalan yang dikemukakan memenuhi keperluan ambang pemutusan buat pertama kali dan kepentingan awam seperti yang dikehendaki bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Nallini mengakui, buku Rewcastle Brown, ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’, membentuk asas penting untuk pendedahan 1MDB dan berkata, kepentingannya tidak boleh diperkecil.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak, dan tidak boleh, memberikan imuniti kepada pengarangnya, jika terdapat fitnah terhadap pihak ketiga.

“Responden (Sultanah Nur Zahirah) berhak mendapat layanan sama rata di sisi undang-undang. Hakikat bahawa (baginda) ialah kerabat diraja tidak menyebabkan (baginda) terhalang daripada membuat tuntutan dan dilayan sebagai mana-mana orang awam,” katanya.

Nallini berkata, sekalipun diberi kebenaran, prospek rayuan itu berjaya tipis.

Mahkamah menganugerahkan kos RM15,000 kepada Sultanah.

Panel Mahkamah Persekutuan hari ini turut dianggotai Hakim Zabariah Yusof dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 12 Dis tahun lepas, tiga hakim Mahkamah Rayuan memerintahkan Rewcastle Brown, Chong dan Vinlin Press membayar ganti rugi RM300,000 kepada Sultanah secara bersama dan berasingan, serta kos RM120,000.

Hakim Azahari Kamal Ramli, yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah berkata, hakim perbicaraan tersilap menolak saman itu pada 2022.

Sultanah Nur Zahirah memulakan saman fitnah RM300 juta pada 2018, mendakwa Rewcastle Brown memperkecil-kecilkan baginda dalam buku itu, yang mengisahkan siasatan Sarawak Report berhubung skandal 1MDB.

Menurutnya, kenyataan itu mencadangkan baginda terlibat dalam amalan rasuah, campur tangan dalam pentadbiran Terengganu dan menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu, yang kemudian menjadi 1MDB.

Baginda mendakwa, kenyataan itu boleh ditafsirkan sebagai bermaksud baginda membantu Low Taek Jho, atau Jho Low, untuk menjadi penasihat TIA.

Dalam pembelaannya, Rewcastle Brown mendakwa, dia tersilap menyebut pemain utama dalam kenyataan yang dipertikaikan itu sebagai isteri Sultan.

A Vishnu Kumar mewakili Sultanah Nur Zahirah selaku peguam, manakala Rewcastle Brown, Chong dan Vinlin Press diwakili peguam Americk Sidhu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.