
Presiden Rizal Farish Mohideen Abdul Kadir mengumumkan perkara itu dalam mesyuarat agung tahunan ke-52 DPMM, kira-kira 4 jam selepas EGM mengundi untuk melucut jawatannya.
Rizal berkata resolusi yang dicapai di EGM yang diadakan pada hari yang sama dengan AGM hari ini itu bertentangan dengan peruntukan Fasal 21.3 UUT DPMM, sekaligus mengekalkan jawatannya.
“Resolusi-resolusi yang diputuskan di dalam mesyuarat tersebut tidak sah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan agenda tahunan tersebut hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden DPMM Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee dan 17 ahli exco dewan itu mengemukakan saman pemula kepada Rizal supaya mahkamah membuat keputusan untuk majlis eksekutif mengadakan EGM berhubung konflik dalaman dewan.
Media melaporkan saman pemula itu berkaitan dengan dakwaan kehilangan RM5 juta dan penjualan 2 hartanah milik DPMM di Plaza Damansara, Kuala Lumpur bernilai RM11.6 juta.
Jumlah perwakilan tidak jelas
Sementara itu, Rizal turut mempersoalkan kelayakan mengundi 30 daripada 177 ahli yang dikatakan layak mengundi dalam EGM kontroversi itu.
Ini kerana hanya 147 ahli yang layak mengundi dalam usul melucutkan jawatannya itu.
“Perwakilan seramai 114 dari 10 negeri, ditambah dengan 33 orang ahli MED. Jadi mana datangnya 30 orang itu?”
Peguam Matthew Phillips Thomas, mewakili Syed Hussein dan 18 ahli mesyuarat eksekutif, memberitahu media hanya 92 orang ahli menghadiri EGM kontroversi itu dan 89 daripada mereka memilih untuk melucut jawatan Rizal.
Keahlian gugur
Pada perkembangan yang sama, Rizal mengumumkan keahlian 16 ahli majlis eksekutif tergugur kerana membuat saman pemula terhadap dewan, berdasarkan UUT DPMM.
“Berdasarkan kepada peruntukan bawah Fasal 27.6.6, ahli majlis eksekutif yang memulakan tindakan mahkamah terhadap dewan, secara automatik keahliannya dalam dewan dan DPMM negeri gugur,” katanya.
Beliau juga mengumumkan semua ahli yang menghadiri EGM kontroversi itu akan dikenakan tindakan disiplin kerana menjejas, menjatuhkan dan mencemar nama baik dewan, mengikut Fasal 27.2 UUT DPMM.
“AGM mempunyai kuasa penuh dalam menentukan setiap pertikaian yang berlaku di dalam majlis eksekutif,” katanya.