
Saintis mendapati ‘terapi penghargaan’ iaitu dengan mengucapkan terima kasih, secara spontan dan langsung misalnya kepada ibu bapa, guru atau rakan atas sokongan mereka memberi kesan terbaik kepada kesihatan mental dan fizikal seseorang.
Kajian oleh University of California, Riverside, Amerika Syarikat membabitkan 1,000 remaja berusia antara 14 dan 15 tahun, menyimpulkan kekerapan mengucapkan ‘terima kasih’ meningkatkan kesihatan emosi mereka.
Ia memberi kesan langsung dalam menanggani masalah tekanan, mengurangkan sakit dan menambah baik kesihatan jantung.
Remaja yang terlibat dalam kajian ini hanya dikenakan menulis nota ‘terima kasih’ sekali seminggu selama 4 minggu berturut-turut.
Nota tersebut ditujukan kepada individu yang menyokong mereka dalam kehidupan.
Menariknya tiada sebarang perubahan yang dilakukan dalam kehidupan remaja ini, baik dari segi makan minum, aktiviti luar, rutin harian dan persekolahan.
Namun, selepas 4 minggu, keputusan kajian diterbitkan dalam Journal of Experimental Social Psychology menunjukkan mereka yang ‘berterima kasih’ berubah kepada pemakanan yang lebih sihat, kurangkan pengambilan makanan bergula dan lebih peka.
Pelik?
Menurut pakar, individu cenderung untuk membaiki kualiti kehidupan sebagai reaksi kepada rasa ‘terima kasih’. Ini kerana mereka akan mula percaya untuk menghargai sokongan yang diberikan.
Sekiranya mereka tidak sedar nilai sokongan dan tidak berterima kasih, maka mereka boleh berbalik kepada kehidupan normal.
Pakar psikologi, dari St Albans, Hertfordshire, Jessica Chivers berkata, nota ‘terima kasih’ tulisan tangan memberikan manfaat sepenuhnya dengan fokus kepada ketelitian dan niat yang lebih ikhlas berbanding mengunakan gajet.
Jadi ber’terima kasih’lah kepada semua. Apa kata jadikan amalan nota terima kasih satu rutin yang menyihatkan!