Hishamuddin Rais dihalang berucap di UKM

Hishamuddin Rais dihalang berucap di UKM

Aktivis sosial itu kesal UKM masih melaksanakan sekatan dan penindasan terhadapnya, serta meminta menteri pendidikan mengkaji semula dasar lapuk yang masih diamalkan IPTA.

Hishamuddin Rais (bertopi kelabu, dua dari kanan) beredar selepas dihalang menyampaikan kuliah di sudut pidato UKM malam ini.
PETALING JAYA:
Aktivis sosial, Hishamuddin Rais mendakwa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghalangnya menyampaikan kuliah dalam satu program di kampus itu dan meminta Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menyiasat dasar lapuk yang masih diamalkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Setiba saya di hadapan sudut pidato, di mana seharusnya saya menyampaikan kuliah, saya diberitahu penganjur bahawa pihak pentadbiran UKM tidak membenarkan program akademik dan intelektual ini diteruskan.

“Saya merasa kesal, dalam Malaysia Baharu masih ada sekatan dan penindasan terhadap diri saya, juga masih terdapat halangan-halangan untuk saya membawa pencerahan perdebatan dan pertukaran fikrah.

“Pada hemat saya, universiti adalah tempat di mana segala bentuk ilmu dibentangkan, dibincangkan dan ditolak atau diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, kejadian itu berlaku 8.30 malam tadi dan program itu ialah siri ke-3 anjuran kumpulan mahasiswa serta pensyarah yang dikenali sebagai Diskopi dan Kawah Buku.

“Saya mengangkat topi kepada kumpulan Diskopi ini berani menjalankan program-program perbincangan secara ilmiah dan intelektual,” katanya sambil menambah pengalamannya tidak akan akan dialami orang lain dalam era Malaysia Baharu.

Sementara itu, pelajar UKM, Azmina Nordin yang juga sebahagian daripada Diskopi, berkata ini bukan kali pertama program itu diadakan dan universiti sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk perbincangan intelektual.

“Program ini terpaksa dibatalkan atas kerelaan pembentang (Hishamuddin) tidak mahu mengambil jalan konfrontasi dengan pihak polis bantuan dan pentadbiran universiti.”

Katanya, ini kali pertama Hishamuddin memasuki UKM, selepas beberapa kali dihalang ke IPTA itu di bawah kerajaan terdahulu.

“Hampir 30 pelajar dan orang luar yang hadir untuk program diskusi malam ini terpaksa pulang awal.

“Adakah pihak universiti sebenarnya serius dan bersedia untuk terbuka dengan agenda kebebasan akedamik dan autonomi universiti? Seolah-oleh idea dan agenda Kementerian Pendidikan dengan UKM tidak sejajar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.