Ringgit naik sedikit berbanding dolar AS

Ringgit naik sedikit berbanding dolar AS

Petunjuk pasaran minyak mentah Brent dicatatkan pada AS$67.19 setong, pagi ini.

Mesyuarat APEC pada hujung minggu memperlihatkan jurang besar antara dasar AS dan China, sekali gus membayangkan resolusi bagi perang perdagangan tidak akan dicapai dalam masa terdekat.
KUALA LUMPUR:
Ringgit tinggi sedikit berbanding dolar AS pagi ini apabila permintaan terhadap unit tempatan itu meningkat di atas sokongan harga minyak dunia yang lebih kukuh.

Pada 9.00 pagi, ringgit berada pada 4.1850/1900 berbanding dolar AS daripada 4.1900/1940 yang dicatatkan pada 6 petang Jumaat minggu lepas.

Pada 9.18 pagi, petunjuk pasaran minyak mentah Brent dicatatkan pada AS$67.19 setong.

Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA Stephen Innes berkata, kenaikan terkini kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan harga minyak mentah dunia yang meningkat ke paras tertingginya sejak 2014 membantu menyokong sentimen mata wang.

“Bagaimanapun, mesyuarat APEC pada hujung minggu memperlihatkan lagi jurang besar antara dasar AS dan China, sekali gus membayangkan resolusi bagi perang perdagangan tidak akan dicapai dalam masa terdekat ini.

“Dengan minggu dagangan yang pendek di AS dan penghujung tahun yang semakin hampir, saya merasakan mata wang serantau, termasuk unit tempatan akan didagangkan mengikut pergerakan dolar AS bagi beberapa minggu akan datang,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0465/0513 daripada 3.0428/0462 pada sesi penutup Jumaat dan turun berbanding euro kepada 4.7751/7812 daripada 4.7506/7568.

Ringgit jatuh berbanding pound Britain kepada 5.3719/3787 daripada 5.3603/3671 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7137/7188 daripada 3.6946/6991.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.