Azmin ikrar terus bersama Anwar

Azmin ikrar terus bersama Anwar

Azmin Ali menyeru seluruh ahli parti supaya tidak mengkhianati perjuangan parti.

SHAH ALAM:
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berikrar akan bersama-sama dengan presiden baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan parti itu terus kuat di samping mengukuhkan kerajaan.

Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi, mengingatkan seluruh ahli parti supaya tidak mengkhianati perjuangan parti itu yang telah 20 tahun berjuang sehingga menggenggam kejayaan.

“Kita bersyukur akhirnya setelah 20 tahun berjuang, dapat kembali Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pimpin PKR, saya dan rakan-rakan berikrar kepada Anwar akan berganding bahu untuk hadapi semua cabaran dalam parti ini,” katanya dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Kongres Nasional PKR ke-13.

Azmin berkata ahli parti perlu bersatu dan mengelak daripada mencetus perbalahan sesama anggota supaya ampuh daripada serangan musuh luar.

Beliau memberi contoh tamatnya “perbalahan” antara beliau dan Rafizi Ramli sepanjang berkempen bagi merebut jawatan timbalan presiden menjadi lambang perpaduan sentiasa kukuh dalam parti itu.

“Perwakilan dari Perlis secara jujur memohon secara terbuka supaya saya dan sahabat saya Rafizi dapat menamatkan kempen pemilihan dan maju ke depan untuk kukuhkan PKR. Sebagai seorang yang lebih berumur daripada Rafizi, sebagai abang, saya spontan bergerak ke arah Rafizi untuk menghulur salam perpaduan dengan dakapan yang begitu erat persabahatan akan terus utuh.

“Jika kita bersatu tiada musuh boleh gugat kekuatan PKR. Lihat sahaja kiri kanan, apakah mereka musuh kita? Musuh kita ada di luar sana. Dalam ini ialah keluarga besar PKR, kalau boleh kita boleh berdakap dengan erat tidak ada musuh yang boleh menggugat kita,” katanya.

Azmin menyifatkan pelbagai isu yang terpalit antara beliau dan Rafizi sepanjang proses pemilihan adalah proses biasa demokrasi. Katanya ia membuktikan parti tersebut berjaya menguruskan demokrasi dengan baik dan membuktikan proses demokrasi yang matang.

“Pemilihan ini meletihkan, bahagian Sungai Petani riuh, Gombak pun riuh, di Pandan pun riuh, Pensiangan pun riuh. Tak mengapa, janganlah kita gundah-gulana macam nak perang dunia ke-3, ini proses demokrasi yang matang,” katanya disambut sorakan perwakilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.