KPN: Trend anggota polis bersara awal membimbangkan

KPN: Trend anggota polis bersara awal membimbangkan

Sehingga Okt tahun ini, lebih 5,000 pegawai dan anggota polis bersara.

Mohamad Fuzi berkata, trend bersara awal merugikan polis kerana kehilangan pegawai berpangkat tinggi dan anggota yang berpengalaman luas.
KUALA LUMPUR:
Peningkatan trend bersara awal dalam kalangan pegawai dan anggota polis berada di tahap membimbangkan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Tahun ini sehingga Oktober lebih 5,000 pegawai dan anggota bersara, kata beliau.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,446 anggota polis memilih untuk bersara awal (pilihan sendiri) dan selebihnya bersara wajib.

“Trend bersara awal atau pilihan sendiri ini meningkat sejak 5 tahun kebelakangan ini atas pelbagai faktor.

“Antara alasan yang diberikan ialah kerana terdapat anggota keluarga yang sakit, menghadapi tekanan atau bebanan kerja yang tinggi dan menghadapi masalah kesihatan yang memaksa diri untuk bersara,” katanya kepada pemberita selepas hadir perbarisan tamat latihan Program Latihan Asas Kepolisan Kadet Inspektor dan Kadet Sarjan di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap tahun, lebih 5,000 pegawai dan anggota akan bersara dan menjangka sebanyak 7,000 pengambilan baru akan dilakukan bagi mengimbangi semula jumlah yang bersara.

Tambah Mohamad Fuzi, trend bersara awal ini juga merugikan polis kerana kehilangan ramai pegawai berpangkat tinggi dan anggota yang berpengalaman luas.

“Bagi mengisi kekosongan, tahun ini sahaja, polis menyasarkan pengambilan rekrut baru seramai 7,000 orang.

“Kami berharap masalah serta trend bersara awal ini dapat diatasi dan kerajaan dapat memenuhi hasrat polis mendapatkan rekrut baru mengikut keperluan agar tidak menjejaskan khidmat kepada komuniti,” jelasnya.

Seramai 248 anggota Kadet Inspektor dan 146 Kadet Sarjan lelaki dan wanita yang berjaya menamatkan latihan menyertai perbarisan tamat kursus asas kadet.

Pada upacara itu Kadet Inspektor Bernadette Thien Mui Ling dan Kadet Sarjan Norashikin Zamri diumumkan sebagai peserta terbaik keseluruhan latihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.