
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, beliau akan berbincang dengan peguam dan pucuk pimpinan parti berhubung tindakan lanjut kerana mereka mempunyai 14 hari untuk memfailkan rayuan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat juga bersedia mempertahankan kerusi negeri itu yang dimenanginya sejak 2004.
“Saya akur dengan keputusan mahkamah. Sama ada bertanding di DUN Rantau sekali lagi, ia terpulang kepada parti untuk meletakkan calon atau tidak, dan siapakah yang akan menjadi calon,” katanya yang lebih dikenali sebagai Tok Mat kepada FMT hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan Mohamad di DUN Rantau, tidak sah dan terbatal, selepas Hakim, Datuk Azimah Omar membenarkan petisyen difailkan calon PKR, Dr Streram Sinnasamy.
Pada hari pencalonan 28 April lalu, Mohamad diisytiharkan menang tanpa bertanding di kerusi itu selepas satu-satunya pencabarnya, Streram gagal menghantar kertas pencalonan kerana dilarang masuk ke pusat penamaan calon disebabkan tiada pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pakar bius itu kemudiannya memfailkan petisyen di mahkamah pada 23 Mei lalu, bagi memohon pilihan raya kecil (PRK) diadakan di kerusi terbabit kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah.
Keputusan itu adalah kemenangan pertama diperolehi Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.
Mohamad mula bertanding di kerusi DUN Rantau dalam PRU11 pada 2004, dengan menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin yang dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.
Beliau seterusnya berjaya mempertahankan kerusi itu dalam PRU12 dan PRU13 dengan menundukkan calon PKR, Aishah Lamsah, masing-masing dengan kelebihan 4,613 undi serta 3,783 undi.
Sementara itu, Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mengalu-alukan keputusan mahkamah yang memihak kepada Streram.
Beliau percaya parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) tidak akan meminta bertanding di Rantau kerana ia adalah kerusi PKR.
“Tidak sepatutnya diadakan satu PRK, jika semuanya dilakukan dengan betul di peringkat awal lagi, jika ikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan, saya rasa ia tidak akan menyebabkan PRK.
“Ia merupakan berita baik kerana demokrasi sudah dapat diletakkan semula pada tempatnya. Siapa menang atau kalah dalam PRK DUN Rantau ini adalah adat dalam pertandingan dan pilihan rakyat.
“Kita bersedia dari awal dan meramalkan memang ada PRK di Rantau, saya rasa PH maklum ia adalah kerusi PKR, saya rasa mereka faham dan tidak timbul masalah untuk parti lain meminta kerusi itu. Kita juga berusaha untuk adakan PRK seperti di Port Dickson, iaitu tidak gunakan jentera kerajaan semasa berkempen.”
Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, keputusan mahkamah hari ini ialah peringatan kepada SPR untuk tidak mengulangi tindakan tidak adil sedemikian.