
Pasangan bintang Bollywood popular masa kini, Deepika Padukone dan Ranveer Singh akhirnya mengikat tali perkahwinan dalam satu majlis ringkas di Itali pada 14 November.
Mereka bukan sahaja dilihat serasi bersama dalam filem seperti Padmaavat dan Bajirao Mastani, malah dalam kehidupan sebenar setelah mula jatuh cinta sewaktu pembikinan filem Ram-Leela pada 2013.

Menurut laporan Times of India, pasangan itu hanya menjemput kawan terdekat dan ahli keluarga rapat dan para jemputan dilarang berkongsi gambar perkahwinan mereka di laman sosial.

Padukone, adalah salah seorang aktres yang menerima bayaran termahal di India dan pernah membintangi filem Hollywood, ‘xXx: Return of Xander Cage’, di samping Vin Diesel.

Deepika dan Ranveer akan pulang ke India pada 18 November untuk menjalankan perkahwinan di Bengaluru pada 21 November ini dan majlis terbesar pula dijangka diadakan di Mumbai pada 28 November.