Khilafah Othmaniyah Turki juga amal ICERD, kata Mustafa Akyol

Khilafah Othmaniyah Turki juga amal ICERD, kata Mustafa Akyol

Rakyat Malaysia yang membantah ICERD atas alasan Islam perlu mengkaji perlembagaan khilafah Othmaniyah 1876 tentang persamaan.

Mustafa Akyol.
KUALA LUMPUR:
Seorang cendekiawan terkenal Turki yang berpangkalan di AS, turut bersuara dalam perdebatan hangat berkaitan langkah Malaysia menimbang untuk meratifikasi konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bakal mengikat kerajaan supaya menamatkan semua bentuk diskriminasi kaum dan menjamin hak sama untuk semua.

Mustafa Akyol, penulis pemenang anugerah berhubung isu semasa umat Islam berkata, kumpulan Islam yang membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) harus mengkaji dasar kerajaan Islam silam, termasuk khilafah Othmaniyah Turki berhubung isu persamaan.

“Saya mencadangkan kepada rakyat Malaysia yang membantah ICERD atas alasan Islam membaca perlembagaan khilafah Othmaniyah pada 1876 yang menyebut:

“Semua rakyat empayar adalah dipanggil Othmaniyah, tanpa membezakan antara kepercayaan agama anutan mereka…(dan) semua Othmaniyah adalah sama di sisi undang-undang. Mereka mempunyai hak yang sama dan memikul tanggungjawab yang sama kepada negara, tanpa prejudis kerana agama”.

“Ini adalah ICERD yang diterima oleh empayar Othmaniyah 150 tahun dulu. Kenapa Malaysia mahu ketinggalan?,” kata Mustafa kepada FMT, apabila diminta memberi komen berhubung protes Umno, PAS dan beberapa pertubuhan Islam berhubung langkah Malaysia menyertai triti antarabangsa itu.

Malaysia merupakan sebilangan kecil negara yang tidak menandatangani atau meratifikasi triti tersebut.

Triti berkenaan menyediakan mekanisme kepada individu di seluruh dunia untuk membuat aduan, antara lain, berhubung isu diskriminasi kaum dan boleh dikuatkuasakan ke atas negara anggota.

Secara khusus ia mewajibkan negara anggota menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum, termasuk dalam institusi awam serta dasar kerajaan, yang kini menjadi asas bantahan pertubuhan Melayu.

Bagi mereka, ratifikasi ICERD akan menghakis kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera lain, termasuk peruntukan yang menyediakan kuota tertentu dalam institusi awam seperti ditetapkan dalam Perkara 153 perlembagaan persekutuan.

Mereka juga membantah jadual masa ditetapkan oleh ICERD ke atas negara anggota bagi menghapus dasar program afirmatif, yang dipercayai akan menamatkan dasar Bumiputera yang diamalkan sejak beberapa dekad lepas.

Sesetengah pihak pula memberi amaran bahawa ICERD diasaskan kepada sistem nilai Barat, dan penerimaannya akan membuka jalan kepada pemaksaan nilai lain ke atas kerajaan Malaysia.

Mustafa, yang lawatannya ke Malaysia pada 2017 berakhir secara mengejut apabila jelajah syarahannya dihentikan oleh pihak berkuasa Islam di Kuala Lumpur berkata, membantah ICERD atas hujah Islam adalah merugikan.

“Jika mereka yang berhujah menentang ICERD menggunakan hujah Islam, maka hujah itu juga merugikan,” katanya.

Beliau berkata, hujah bahawa ICERD akan menghapuskan hak Bumiputera juga akan merugikan usaha mengangkat komuniti itu dari segi ekonomi.

“Bergantung kepada status istimewa yang diberikan kerajaan sebenarnya tidak bermanfaat kepada mana-mana kumpulan,” kata Mustafa. “Ia menjadikan kumpulan itu malas, bukannya mendorong kumpulan itu bekerja keras bagi memanfaatkan potensi mereka.”

Beliau memberi contoh perlawanan bola sepak yang memberi kelebihan kepada pasukan tertentu.

“Ia bukan sahaja tidak adil kepada pasukan lain, malah menjadikan pasukan yang diberikan kelebihan kurang berdedikasi dan berdisiplin seperti sepatutnya.”

Mustafa berkata, bantahan kumpulan Islam tertentu terhadap ICERD mungkin disebabkan kegagalan mereka untuk keluar dari sistem Islam klasik yang membahagikan antara rakyat Islam dan bukan Islam.

Katanya sistem sedemikian telah diatasi oleh realiti sejarah.

“Benar, ia merupakan pengalaman sejarah orang Islam, tetapi ia bukan cetak biru yang diwahyukan untuk semua zaman,” katanya.

Beliau berkata, empayar Othmaniyah menyedari perkara ini pada pertengahan abad ke-19 dan memansuhkan sistem dzimmi, dengan memberikan hak kewarganegaraan yang sama kepada orang Kristian dan Yahudi.

Katanya, telah tiba masanya orang Islam belajar menerima nilai yang Islam walaupun ia berasal dari Barat yang “tidak Islam”.

“Nilai Barat akan menunjukkan bahawa semua komuniti agama berhak mengamalkan agama dengan bebas. Apakah ini tidak Islam? Tidak, malah ia selari dengan prinsip al-Quran ‘tiada paksaan dalam agama’.”

Katanya, selain teks dan tradisi agama, manusia perlu bertindak dengan akal waras dan hati budi.

“Mereka yang menggunakannya dengan niat baik, tanpa mengira latar belakang agama dan budaya mereka, boleh menghasilkan idea dan prinsip yang juga baik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.