FundMyHome bukan untuk orang miskin, kata penyokong skim pemilikan rumah

FundMyHome bukan untuk orang miskin, kata penyokong skim pemilikan rumah

Pengerusi EdgeProp Sdn Bhd, Tong Kooi Ong berkata, tiada golongan tertentu disasarkan penyokong skim itu yang dikritik pelbagai pihak.

Tong Kooi Ong berkata, pembinaan rumah bagi golongan miskin ialah tanggungjawab agensi kerajaan, bukannya sektor swasta.
PETALING JAYA:
Syarikat yang dikritik kerana program pemilikan rumah, FundMyHome berkata, skim itu tidak pernah disasarkan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Sebaliknya, Pengerusi EdgeProp Sdn Bhd, Datuk Tong Kooi Ong berkata, tiada golongan tertentu disasarkan penyokong skim itu yang dikritik sejak ia diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Bajet 2019 pada 2 November lalu.

Katanya, mereka yang berminat perlu mempunyai simpanan untuk membayar pendahuluan 20% yang menjadi tumpuan kritikan kerana ia di luar kemampuan kebanyakan rakyat Malaysia.

“Jika pembeli tidak mempunyai simpanan, beliau perlu pinjam daripada ibu bapa atau rakan. Untuk mendapatkan pinjaman RM60,000 itu, beliau akan diperiksa bank dan sebagainya, jadi proses saringan itu sudah berfungsi,” katanya kepada FMT.

Tong berkata, pembinaan rumah bagi golongan miskin ialah tanggungjawab agensi kerajaan, bukannya sektor swasta.

“Ramai yang membuat pelbagai andaian. Jika anda lihat kritikan atau sinisme yang dibangkitkan, ramai yang fikir kita menyasarkan pasaran berbeza.

“Sesetengah orang fikir peranan kami ialah membekalkan rumah kepada semua orang, tetapi kami tidak boleh lakukannya. Bagaimana seseorang yang bergaji RM1,000 atau RM1,500 sebulan dengan 2 anak mempunyai RM60,000?”

Katanya, skim membabitkan pembeli dan bank mengambil bahagian dalam membiayai pembelian rumah itu bukannya penyelesaian bagi rumah mampu milik.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat membantu golongan miskin yang memerlukan perumahan awam.

‘Aspek berisiko’

Di bawah skim FundMyHome, pembeli akan membayar 20% daripada harga rumah yang akan dimasukkan dalam akaun amanah untuk membayar pulangan pelaburan tahunan sebanyak 5% kepada bank terbabit selama 5 tahun.

Baki 80% akan disumbangkan bank terbabit. Tiada bayaran balik bulanan bagi 5 tahun pertama dan selepas itu pembeli boleh menjual, membeli bahagian hartanah yang tidak dimiliki mereka pada harga pasaran atau membiayai semula rumah itu.

Sebarang kemerosotan nilai hartanah itu selepas 5 tahun akan ditanggung pemiliknya. Bagaimanapun, ia terhad kepada 20% modal yang dilaburkan pada masa pembelian. Mereka tidak boleh menjual rumah itu dalam 5 tahun pertama.

Tong berkata, skim itu bukannya penyelesaian untuk semua pemilik rumah berpotensi, tetapi merupakan pilihan tambahan dalam pasaran jualan hartanah.

Dalam taklimat hari ini, Tong menjelaskan beberapa aspek skim FundMyHome yang mempunyai lebih banyak manfaat berbanding pengambilan gadai janji biasa.

Tetapi, beliau mengakui ada elemen lain yang lebih berisiko, contohnya jika harga hartanah yang dibeli itu meningkat lebih 17% selepas tempoh 5 tahun.

Katanya, dengan skim FundMyHome, kerugian terhad kepada 20% modal yang dilaburkan.

“(Daya maju) skim ini bergantung kepada kesediaan pembeli rumah berkongsi keuntungan modal masa depan sebagai pertukaran untuk memiliki sebuah rumah sekarang.”

‘Sedia temui Najib’

Ahli politik dan pakar hartanah mempersoalkan jika FundMyHome akan memanfaatkan pembeli. Pengkritiknya termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tong yang sedia menemui Najib dan pengkritik lain skim itu berkata, ahli Parlimen Pekan itu “mungkin tidak mahu berjumpa dengannya”.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) turut bimbang dengan skim itu.

Pengerusinya, Datuk Jeffrey Ng sebaliknya menyarankan Amanah Pelaburan Hartanah Kediaman (REIT Kediaman) diwujudkan untuk menyelesaikan masalah rumah mampu milik bagi golongan miskin, di mana kerajaan akan menyediakan tanah untuk perumahan sewa awam atau sosial di pusat bandar.

Amanah itu boleh membina perumahan awam dengan kos sendiri dan REIT Kediaman berhak mendapat pulangan sewa daripada pembangunan itu selama 30 tahun dengan kadar sewa ditetapkan.

Tong menyambut baik cadangan Rehda, tetapi mempersoalkan jika kerajaan mampu menanggung kos sewa selama 30 tahun.

Katanya, ia akan menimbulkan masalah apabila semua orang berebut mendapatkannya kerana tidak perlu membayar sewa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.