
Calon ketua Pemuda, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, yang termasuk dalam senarai pasukan Rafizi mendakwa undi daripada 40 bahagian parti hilang dengan bilangan terbanyak di Kota Belut, Kota Marudu dan Sepanggar di Sabah.
“Ini seolah-olah ada keputusan yang dipadamkan secara sistematik dan terpilih,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata kehilangan tertinggi dikesan dalam pemilihan di Kota Marudu iaitu sebanyak 27.27%, diikuti Sepanggar (23.25%), Tawau (17.99%), Tuaran (19.55%), Beluran (21.33%), Kimanis (24.63%) dan Kota Belud (29.38%)
“Masalah itu dilihat sistematik dan terancang. Apa yang berlaku ini luar biasa. Bahagian yang kena hanya pada satu pihak,” katanya.
Akmal menggesa biro politik PKR yang akan bermesyuarat malam ini membuat satu ketetapan dengan mengambil kira pendedahan itu.
“Dari segi keputusan itu kita akan terima seadanya. Cuma pandangan kami biar berlaku adil. Tujuan kami supaya perkara ini diletakkan sebagai fakta dan biar mereka buat keputusan,” katanya.
Terdahulu, Rafizi kecewa dengan parti untuk tidak mengadakan pemilihan semula di Julau, Sarawak.
Beliau berkata kenyataan jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) yang berkata kejadian tablet dicerobohi dan sistem e-undi digodam di Julau tidak mempunyai kesan kepada kewibawaan data adalah tidak masuk akal.