
Bekas menteri kewangan itu mengingatkan kerajaan bahawa rata-rata kelompok itu hidup miskin tetapi belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini memotong dan mengecilkan peruntukan untuk mereka.
“Saya minta bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil dan penoreh getah, subsidi baja padi, insentif pengeluaran padi diberikan. Insentif bersasar nelayan dipastikan sampai ke kumpulan sasar.
“Satu lagi subsidi baja padi huma di Sarawak dan Sabah. Sudahlah mereka miskin, jumlah diperuntukkan pun tak banyak cuma RM70 juta.
“Elaun sara hidup nelayan darat yang dulunya diperuntukkan RM12.5 juta, kini dipotong kepada RM3.5 juta. Kalau kita lihat semua ini jumlahnya masih kecil,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menambah dia memahami rasional sebalik pengurangan belanjawan kali ini bagi menangani masalah dalam pengagihan bantuan dan insentif sebelum ini.
“Saya setuju menteri kewangan ambil langkah lebih tegas menghalang segala ketirisan atau penyalahgunaan kuasa dan memastikan pembahagian kepada kelompok sasar ini lebih terjamin,” katanya.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng kemudian bangun mencelah dan memberi jaminan kerajaan tidak akan mengabaikan petani, nelayan, peladang dan pekebun kecil yang “tulen”.
“Kita akan pastikan juga bahawa ketirisan yang hendak kita atasi tidak akan memangsakan mereka,” katanya.
Tindakan seorang menteri bangun mencelah rayuan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan wakil rakyat yang menyifatkan Lim sudah melanggar peraturan Dewan Rakyat.
Tan Sri Annuar Musa (BN-Keterah) membidas menteri kerana mengganggu masa wakil rakyat sementara Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) mengingatkan Lim mempunyai masa tersendiri semasa penggulungan minggu depan.
“Jawablah nanti bila tiba masa anda,” kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) disambut beberapa lagi Ahli Parlimen.
Dalam Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan RM4.4 bilion untuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dengan RM3 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.36 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Belanjawan 2018 pula memperuntukkan RM6.5 bilion dengan RM2.3 bilion untuk bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran, RM500 juta untuk penambahbaikan pengairan dan naik taraf jalan ladang, RM200 juta untuk penanaman semula getah.
Ia juga memperuntukkan RM140 juta untuk penanaman semula kelapa sawit, RM50 juta untuk penamaman kelapa, RM200 juta untuk penanaman jagung, kelapa, durian serta tenusu, dan RM150 juta untuk bantuan RM200 sebulan kepada pesawah bagi tempoh 3 bulan sementara menunggu hasil tuaian.