Aktivis gesa Maszlee dedah maklumat pengganti presiden UIA

Aktivis gesa Maszlee dedah maklumat pengganti presiden UIA

Asheeq Ali meminta menteri pendidikan mencontohi keputusan Majlis Amanah Rakyat mendedahkan biodata CEP dan lembaga pengarah baharu.

Asheeq Ali Sethi Alivi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Aktivis pelajar Asheeq Ali Sethi Alivi menggesa Menteri Pendidikan Maszlee Malik mendedahkan maklumat individu yang akan menggantikan beliau sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Asheeq berkata pihaknya mahu melihat pelantikan itu dibuat secara telus, atas dasar kredibiliti dan merit, dan tiada unsur politik.

“Dedahkan kepada masyarakat biodata dan latar belakang orang yang akan mengganti beliau sepertimana yang dibuat oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam pelantikan ketua pegawai eksekutif dan lembaga pengarahnya September lalu,” katanya.

Beliau menyahut kenyataan Maszlee yang mengumumkan dia akan melepaskan jawatan itu selepas pelantikan penggantinya, yang dijangka akan selesai akhir November ini.

Gerakan pelajar mengkritik pelantikan Maszlee kerana dikatakan bercanggah dengan konsep autonomi universiti dan menimbulkan konflik kepentingan, memandangkan Maszlee memegang kepentingan parti dan kerajaan.

Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menasihatkan Maszlee supaya melepaskan jawatan itu dengan segera.

“Ada baiknya perceraian ini. Maszlee sekarang boleh fokus tanpa belah bahagi untuk membangunkan semua universiti di Malaysia, bukan hanya UIAM sahaja,” kata Asheeq.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.