Peguam selar Latheefa berkait ulasan pelantikan kehakiman

Peguam selar Latheefa berkait ulasan pelantikan kehakiman

Asheeq Ali Sethi Alivi minta Latheefa Koya henti keluar kenyataan bersifat populis, malah beliau sendiri mendapat manfaat daripada kuasa pelantikan perdana menteri.

Asheeq Ali Sethi Alivi berkata Latheefa Koya tidak wajar mempersoalkan sistem kuasa eksekutif.
PETALING JAYA:
Seorang peguam menyelar gesaan Latheefa Koya supaya kuasa perdana menteri dalam pelantikan hakim dihapuskan sepenuhnya susulan kebocoran dokumen mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Asheeq Ali Sethi Alivi menegaskan Latheefa perlu berhenti mempertikaikan perkara itu memandangkan pelantikan ketua hakim negara melalui pelbagai proses termasuk rundingan bersama Majlis Raja-Raja.

Beliau yang juga ketua PKR Batu berkata sebagai bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa tidak wajar mempersoalkan sistem kuasa eksekutif yang turut dinikmatinya ketika dilantik mengetuai suruhanjaya itu oleh pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2019.

“Hormati proses tersebut. Sebaiknya, Latheefa berhenti mengeluarkan kenyataan bersifat populis semata-mata lebih-lebih lagi apabila Latheefa sendiri telah menikmati hasil suatu ketika dahulu daripada sistem kuasa sama kini beliau persoalkan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Latheefa yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL) meminta kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menghapuskan sepenuhnya kuasa perdana menteri dalam pelantikan hakim.

Beliau berkata langkah itu satu-satunya cara untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman.

Latheefa juga menyifatkan kebocoran dokumen itu sebagai ‘skandal kehakiman terbesar dalam sejarah’ dan memberi amaran bahawa kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara kini berada pada tahap paling kritikal.

Minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bertarikh 16 Mei 2025 tersebar luas di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kes itu yang dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.