
Mereka menyifatkan keputusan kerajaan itu dibuat secara sembarangan dan pelaksanaan peraturan seperti itu sepatutnya diserah kepada pemilik restoran.
Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura berkata pelanggan restoran terdiri daripada golongan perokok dan golongan tidak merokok yang berhak dilindungi.
“Kedai kopi kami tidak dimiliki oleh kerajaan, jadi bukankah pandangan kami lebih penting berbanding pihak tidak berkaitan?” kata Presiden Ho Su Mong pada sidang media hari ini.
“Langkah mengharamkan merokok itu tidak logik,” katanya dan menambah kerajaan sepatutnya melawan tabiat merokok dengan cara lain.
Beliau berkata pemilik restoran membanting tulang membina perniagaan mereka.
“Kerajaan sepatutnya faham cabaran dan kesukaran yang dihadapi jadi langkah yang lebih praktikal dan adil boleh diperkenalkan,” kata Ho.
Putrajaya mengumumkan pengharaman merokok mandatori di semua restoran, kedai kopi dan pusat penjaja bermula tahun depan. Pengharaman itu juga termasuk medan makan terbuka.
Sementara itu, Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan itu.
Presiden T Mutusamy berkata pengharaman itu akan memberi kesan kepada perniagaan.
“Ini seperti menjejaskan periuk nasi kami secara sah, terutama kedai-kedai kecil.”
Mutusamy berkata pengharaman merokok di kedai-kedai makan sepatutnya diberi keutamaan rendah.
Beliau berkata kerajaan sepatutnya memberi lebih perhatian kepada membendung rokok haram.
Mutusamy berkata pertemuan dengan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye tidak berhasil.
Beliau berkata kementerian berkata pelanggan masih boleh merokok 10 kaki daripada kedai-kedai makan supaya pengusaha tidak dipertanggungjawabkan.
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia berkata pengharaman itu nampaknya tidak difikirkan secara mendalam.
“Saya nak jawab apa kalau pelanggan tanya di mana dia boleh merokok?” kata Presiden Ayub Khan.
“10 kaki dari kedai bermakna merokok di jalan. Tidakkah itu berbahaya dan diskrminasi?”