Kastam rampas dadah bernilai RM18 juta di Tanjung Pelepas

Kastam rampas dadah bernilai RM18 juta di Tanjung Pelepas

Dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 300kg diseludup dalam sebuah kontena dari luar negara.

Ketua Pengarah Kastam, T Subromaniam berkata, penyeludupan iitu licik kerana menyorokkan dadah di dalam penapis air yang dikosongkan dan kemudian diisi dengan pasir supaya tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia menahan dua lelaki tempatan dan merampas 300kg dadah bernilai RM18 juta dalam operasi di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini, 1 Nov lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T Subromaniam berkata, suspek berumur 30 dan 35 tahun itu ditahan dalam operasi kira-kira pukul 2 petang, hasil maklumat orang ramai.

Beliau berkata, dadah yang disyaki jenis methamphetamine seberat 300kg itu diseludup dalam sebuah kontena dari luar negara melalui Pelabuhan Klang di Selangor dan kemudian dibawa masuk ke PTP.

“Penyeludupan ini licik kerana mereka menyorokkan dadah di dalam penapis air yang dikosongkan dan kemudian diisi dengan pasir supaya tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Mereka juga membuat ikrar bahawa barangan dalam kontena itu adalah 30 unit penapis air.

”…apabila diperiksa lanjut, ia didapati mempunyai bungkusan mengandungi bahan berbentuk kristal putih disyaki methamphetamine.

“Selain itu, kontena juga mengandungi 2 unit tangki air dan 50 kotak karton kosong,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Subromaniam berkata, pihaknya percaya dadah itu hanya “transit” di Malaysia, namun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui sama ada dadah dijual untuk pasaran Malaysia atau sebaliknya.

“Kita juga akan lihat punca kewangan (pendapatan) suspek. Jika ada yang meragukan, kita akan bekukan akaun mereka kerana kita ada kuasa untuk berbuat demikian dan suspek juga telah direman,” katanya, dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Subromaniam memberitahu jumlah rampasan dadah melonjak hampir 4 kali ganda, iaitu kepada 3,110 kg pada tahun ini berbanding hanya 812 kg tahun lepas, manakala nilai rampasan pula sehingga Okt lepas berjumlah RM141 juta, berbanding RM92 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya, tangkapan ke atas suspek turut meningkat daripada 44 orang kepada 78 orang.

“Peningkatan ini disebabkan kastam mempunyai jaringan yang baik dengan agensi penguatkuasaan dalam dan luar negara.

“Selain itu, kita juga ada maklumat daripada pejabat risikan wilayah kastam yang bekerjasama dengan polis, selain dibantu oleh pemantauan ketat di pintu sempadan dan pelabuhan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.