
Belanjawan sulung sejak mengambil alih kerajaan negeri Mei lalu, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil RM284.28 juta pada tahun depan.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, jumlah belanjawan yang disediakan pada tahun depan turut menyaksikan peningkatan peruntukan 2.29% berbanding Belanjawan 2018 berjumlah RM373.67 juta.
Beliau berkata, belanjawan itu merangkumi perbelanjaan mengurus yang terbahagi kepada 2 iaitu perbelanjaan bekalan RM369.16 juta dan perbelanjaan tanggungan RM13.06 juta dengan anggaran hasil sebanyak RM384.29 juta pada tahun depan.
Katanya, daripada perbelanjaan mengurus itu, sebanyak RM106.07 juta diperuntukkan untuk bayaran emolumen bagi pegawai tetap; perkhidmatan dan bekalan (RM161.68 juta); aset (RM3.26 juta); pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM95.56 juta) serta lain-lain (RM2.58 juta).
“Ini merupakan belanjawan sulung kerajaan PH yang bakal mencorakkan negeri Melaka ke arah negeri berwibawa selepas 61 tahun belanjawan dibentangkan oleh kerajaan terdahulu,” katanya ketika berucap membentangkan belanjawan negeri di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Adly berkata, perbelanjaan kali ini dilakukan secara berhemah, mengurangkan pembaziran dan mengatasi isu-isu berkaitan komitmen kewangan kerajaan negeri tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.
Beliau berkata, daripada anggaran kutipan hasil, sebanyak RM149.41 juta merupakan hasil cukai, hasil bukan cukai (RM172.73juta) dan terimaan bukan hasil sebanyak RM62.14 juta.
“Kutipan hasil dijangka meningkat RM4.53 juta atau 2.95% lebih tinggi berbanding anggaran kutipan hasil pada 2018. Mengambil kira jumlah hasil melebihi jumlah perbelanjaan kerajaan negeri membentangkan bajet lebihan,” katanya.
Beliau berkata belanjawan itu digubal berlandaskan 3 strategi utama, iaitu merangsang ekonomi negeri bagi memperkukuh kualiti hidup rakyat, meneruskan agenda sosial serta pembangunan negeri dan memperkasa pembangunan modal insan.
Adly berkata, bagi menyanjung tinggi kesetiaan kakitangan awam negeri, kerajaan memberi bantuan khas sebanyak RM500 yang akan dibayar Disember ini.