Maszlee: PM, Kementerian Kewangan setuju skim baucar buku IPT diteruskan

Maszlee: PM, Kementerian Kewangan setuju skim baucar buku IPT diteruskan

Perkara itu dipersetujui mesyuarat Kabinet dan mendapat sokongan daripada perdana menteri.

Maszlee berkata, langkah itu selaras dengan janji memastikan kebajikan penuntut IPT terbela.
PUTRAJAYA:
Kementerian Kewangan bersetuju dengan saranan supaya skim bantuan baucar buku bagi penuntut institut pengajian tinggi (IPT) diteruskan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, perkara yang dipersetujui semasa mesyuarat Kabinet semalam itu turut mendapat sokongan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Maszlee berkata, kementerian terbabit bersetuju untuk melihat cadangan itu yang bertujuan untuk membantu mengurangkan beban kewangan penuntut IPT.

“Saya telah membawa perkara ini dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung semalam, iaitu mesyuarat pertama selepas Belanjawan 2019 dibentangkan pada 2 Nov lepas.

“Perdana menteri juga melahirkan pandangan bahawa bantuan seperti skim berkenaan perlu diteruskan,” katanya, dalam kenyataan di sini, hari ini.

Maszlee menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan dan sokongan perdana menteri dalam mempertimbangkan cadangan tersebut demi membantu penuntut IPT.

“Kami berharap akan ada berita menggembirakan dalam waktu terdekat berhubung cadangan ini,” katanya.

Maszlee berkata, cadangan itu adalah selaras dengan janjinya dalam memastikan kebajikan penuntut IPT terbela.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.