
Sabah dan Sarawak diberikan autonomi berhubung urusan imigresen di bawah Seksyen 66 Akta Imigresen.
“Kuasa imigrsesn kami sentiasa berada dalam fikiran kerajaan pusat, bermula dari orang paling atas,” katanya kepada FMT.
“Malah perkara ini telah disebut oleh ketua pembangkang, Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada September lepas.
“Jeffrey merupakan satu-satunya pemimpin yang dapat menangkap makna tersirat di sebalik ucapan Hari Malaysia Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kota Kinabalu sebelum ini.”
Dalam ucapannya Dr Mahathir menyebut bahawa rakyat Sabah dan Sarawak boleh pergi ke Semenanjung Malaysia tanpa apa-apa halangan.
Jeffrey percaya Dr Mahathir mengisyaratkan hakikat bahawa penduduk dari semenanjung sebaliknya perlu mendapatkan pas khas untuk tinggal dan bekerja di 2 negeri itu.
Jeffrey juga berkata, kata-kata Dr Mahathir selepas itu mengenai perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin di 3 wilayah Malaysia, iaitu Malaya, Sabah dan Sarawak merupakan percubaan perdana menteri mengaitkan autonomi imigresen dengan halangan masuk ke Sabah dan Sarawak terhadap beberapa ahli politik.
Mandut berkata, selain bersetuju dengan Jeffrey, beliau bimbang terhadap sikap membisu kerajaan Warisan berhubung isu tersebut, berikutan ucapan Hari Malaysia Dr Mahathir itu dan pendedahan oleh Ketua menteri , Datuk Abang Johari Openg, bahawa Sarawak diminta melepaskan kuasa imigresennya.
“Saya tunggu dan tunggu tetapi mereka terus membisu. Sangat menghairankan apabila kerajaan Sabah, yang kononnya memperjuangkan hak Sabah, tidak mahu berdiri bersama-sama Sarawak bagi mempertahankan haknya.
“Ini membimbangkan. Apakah kita akan kehilangan kuasa imigresen itu? Kerajaan persekutuan boleh memaksa kerajaan Warisan melepaskan autonominya ke atas urusan imigresen atas alasan integrasi nasional kerana Dr Mahathir merupakan pendukung kerajaan kesatuan, bukan federalisme,” katanya.
Mandut juga menggesa Sabah terus mempertahankan saki-baki kuasa imigresen yang masih dimilikinya.