29 penghuni ada kesan didera kakitangan rumah anak yatim di Temerloh

29 penghuni ada kesan didera kakitangan rumah anak yatim di Temerloh

Pengarah JKM Pahang berkata, 27 kanak-kanak itu diserahkan kepada keluarga masing-masing, manakala 2 lagi yang tidak berkeluarga akan dimasukkan ke institusi kendalian JKM.

Kes itu terbongkar selepas seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun membuat laporan polis mendakwa dicabul dan didera kakitangan pusat itu, minggu lalu.
TEMERLOH:
Seorang penghuni sebuah rumah kebajikan dan anak yatim milik persendirian di sini membuat laporan polis mendakwa dicabul dan didera kakitangan pusat itu, minggu lalu.

Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu mendakwa dipanggil seorang kakitangan lelaki ke biliknya pada 2 petang Sabtu lalu, dan dibaringkan sebelum diraba di bahagian dada serta alat sulit.

Mangsa juga mendakwa sebelum kejadian itu, tangannya pernah diikat dengan kakinya diletakkan berhampiran dapur gas dalam keadaan api menyala selama beberapa minit oleh 2 kakitangan lelaki di situ, namun tidak menyatakan secara terperinci bila ia berlaku.

“Hampir setiap hari bukan sahaja saya, tetapi juga kawan-kawan yang tinggal di situ dipukul dan didera dengan pelbagai cara yang berlanjutan sehingga hari ini, sehingga kami takut,” kata mangsa dalam laporannya.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh hari ini dengan ditemani ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Jamilah.

Jamilah, 30, berkata mangsa dan adik lelakinya berusia 6 tahun dihantar ke rumah jagaan anak yatim itu selepas Aidilfitri lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Zundin Mahmood, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dilakukan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata pihaknya melakukan pemeriksaan mengejut di rumah itu yang menempatkan 29 kanak-kanak berusia 5 hingga 16 tahun.

Katanya, rumah jagaan itu merupakan milik persendirian yang diuruskan dengan kutipan derma orang ramai.

“Semua kanak-kanak di situ dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini, dan didapati terdapat kesan-kesan yang berkemungkinan tanda penderaan.

“Sehubungan itu, 27 kanak-kanak itu diserahkan kepada keluarga mereka, manakala 2 lagi tidak mempunyai keluarga,” katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Zulkhairi berkata, JKM akan memohon perintah mahkamah pada Isnin ini untuk memasukkan 2 kanak-kanak itu ke institusi kendalian JKM bagi tujuan perlindungan.

Beliau menjelaskan tindakan pemeriksaan mengejut itu diambil bagi melaksanakan tanggungjawab di bawah Seksyen 20(1) dan Seksyen 17 Akta Kanak-kanak 2001 untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.