PKR buat verifikasi pertambahan ahli di Julau

PKR buat verifikasi pertambahan ahli di Julau

Laporan terperinci mengenai penambahan ahli secara mendadak itu telah dibentangkan kepada biro politik parti.

Saifuddin Nasution Ismail berkata pendaftaran keahlian baru PKR dilakukan secara telus, terbuka dan bertanggungjawab.
PETALING JAYA:
PKR berkata pihaknya mengarahkan kakitangan parti mengumpul semua borang keahlian baru di bahagian Julau bagi proses verifikasi (pengesahan) selepas didakwa berlakunya penambahan lebih 13,000 ahli menjelang pemilihan di Sarawak.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata laporan terperinci mengenai penambahan ahli secara mendadak itu telah dibentangkan kepada biro politik parti.

“Parti bertindak secara proaktif dengan memberi perhatian khusus kepada kes melibatkan bahagian Julau walaupun tiada sebarang aduan khusus diterima sehingga 17 Julai 2018, iaitu tarikh akhir bantahan oleh bahagian berkaitan permohonan keahlian baru.

“Pada masa yang sama, parti juga ada menerima aduan berkenaan lebih 1,000 permohonan keahlian baru melibatkan bahagaian Batu, yang dilakukan tanpa sebarang serahan borang permohonan sehingga hari ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, mengikut rekod ibu pejabat PKR, jumlah keahlian baru yang tidak secara atas talian (manual) setakat jam 12.00 malam, 26 Jun 2018 ialah 22,673 orang seluruh negara. Sementara permohonan bagi bahagian Julau diterima pada jam 2.00 petang, 12 Jun 2018.

“Semua permohonan keahlian baru secara manual ini diproses oleh Ibu Pejabat PKR pada 27 Jun 2018.

“Semua permohonan keahlian baru seterusnya diperaku dan didaftarkan sebagaimana pekeliling setiausaha agung kepada ahli biro politik bertarikh 27 Jun 2018,” katanya.

Saifuddin menambah, pendaftaran keahlian baru parti dilakukan secara telus, terbuka dan bertanggungjawab mengikut keputusan dan garis panduan yang dipersetujui dan ditetapkan melalui Majlis Pimpinan Pusat dan biro politik.

Hari ini, Anggota majlis pimpinan tertinggi PKR, Latheefa Koya menempelak keputusan biro politik parti itu meluluskan pertambahan lebih 13,000 ahli bagi bahagian Julau, dan menyifatkannya lebih buruk daripada pentadbiran Barisan Nasional.

“Jika pertambahan keahlian itu sah seperti didakwa oleh biro politik PKR, maka kenapa ramai yng tampil membuat aduan bahawa nama mereka dimasukkan ke dalam senarai ahli bahagian Julau tanpa persetujuan mereka?

“Survei menggunakan telefon mendedahkan sekurang-kurangnya 1,310 mangsa yang nama mereka didaftarkan tanpa persetujuan, sedangkan terdapat nama lain yang tidak dapat dihubungi langsung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.